DNB, pelaksanaan 5G wajar dibahas di Parlimen: PHDNB, pelaksanaan 5G wajar dibahas di Parlimen: PH
top of page
  • Wartawan Nabalu News

DNB, pelaksanaan 5G wajar dibahas di Parlimen: PH



29 Oktober 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) berpendirian Digital Nasional Bhd (DNB) dan seluruh perancangan pelaksanaan jaringan 5G wajar dibahas di Parlimen.


Menurut kenyataan Jawatankuasa Komunikasi, Digital & Multimedia PH, ini termasuk dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur, sebelum ia dilaksana sepenuhnya.


Katanya, berdasarkan wawancara Ketua Pegawai Eksekutif DNB pada 16 Oktober lalu, DNB dijangka membuat siri pinjaman bank serta menerbitkan sukuk menjelang tahun hadapan yang keseluruhannya berjumlah RM 8 billion.


“Pinjaman ini merupakan satu bentuk liability kontingen (contingent liability) yang merupakan risiko yang terpaksa dipikul rakyat nanti sekiranya DNB gagal membayar balik hutang tersebut. Hal ini wajar dipertimbang semula dengan cukup serius, memandangkan bebanan hutang Kerajaan yang dijangka meningkat.


“Memandangkan risiko-risiko itu, kami berpendirian bahawa DNB dan seluruh perancangan pelaksanaan jaringan 5G wajib dibahas di Parlimen, termasuk dibawa kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Pembangunan Infrastruktur, sebelum ia dilaksana sepenuhnya.


“Tiada sebab risiko-risiko ini perlu diambil, sedangkan ianya boleh dilaksanakan dengan cara yang mendatangkan hasil kepada Kerajaan dan bukan sebagai hutang tidak langsung (contingent liability') seperti ini,” katanya dalam kenyataan media.


Berdasarkan laporan media, DNB dijangka membelanjakan di antara RM16.5 billion sehingga RM20 bilion selama 10 tahun untuk membina jaringan 5G, yang dikatakan mampu meliputi 80 peratus negara menjelang 2024.


Menurut Jawatankuasa Komunikasi, Digital & Multimedia PH, perbelanjaan untuk 600 staf DNB sahaja dijangka berjumlah RM2.5 billion, atau purata RM34,722 seorang sebulan untuk tempoh sedekad itu.


“Berbeza dengan pengendalian spektrum perkhidmatan telekomunikasi untuk 2G, 3G dan 4G sebelum ini, syarikat-syarikat telekomunikasi tidak ditawarkan untuk membida spektrum 5G tetapi terpaksa menyewa spektrum tersebut dari DNB sahaja pada satu kadar yang ditetapkan untuk satu jangkamasa yang ditetapkan.


“Dari sudut pendapatan Kerajaan, langkah pelaksanaan 5G melalui monopoli DNB ini bermaksud Kerajaan akan berisiko kehilangan pendapatan dari hasil jualan spektrum 5G terus kepada syarikat-syarikat telekomunikasi, yang dianggarkan bernilai RM 7-12 bilion.


“Pada ketika pendapatan tahunan Kerajaan sangat tertekan akibat pandemik Covid-19, sudah pasti langkah ini akan mendatangkan kesan negatif terhadap pendapatan Kerajaan. Hal ini mesti dipertimbang semula,” kata kenyataan itu.


Menurut kenyataan itu lagi: “Dalam aspek pelaksanaan secara teknikal, kami meneliti beberapa risiko besar termasuk isu-isu legasi yang mungkin timbul apabila perkhidmatan telekomunikasi beralih ke teknologi yang lebih tinggi kelak”.


“Malah berdasarkan garis panduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bertarikh 9 Julai 2021, syarikat-syarikat telekomunikasi hanya dibenarkan untuk menggunakan spektrum sedia ada untuk menyediakan perkhidmatan sehingga tahap 4G sahaja dan tidak 5G atau lebih dari itu.


“Ini adalah satu kekangan teknologi yang amat tidak wajar, menghilangkan sifat 'keberkecualian teknologi' (removal of 'technology neutrality'), dan wajib dipertimbang semula,” kata kenyataan itu.


Kenyataan itu dikeluarkan oleh anggota Jawatankuasa Komunikasi, Digital & Multimedia Pakatan Harapan, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (Ahli Parlimen Lembah Pantai, keadilan), Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam, AMANAH), Hannah Yeoh (Ahli Parlimen Segambut, DAP), Wong Shu Qi (Ahli Parlimen Kluang, DAP) 5) YB Chan Ming Kai (Ahli Parlimen Alor Setar, KEADILAN) dan Loh Ker Chean (Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN).

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page