Ekonomi Madani dijangka pacu kedudukan Malaysia di peringkat global dan ASEAN
- nabalunews
- Nov 11, 2024
- 1 min read

11 November 2024
KAHERAH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis bahawa dasar Ekonomi Madani akan menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh kedudukan ekonomi Malaysia di arena global dan serantau, khususnya ASEAN.
Jelas Anwar, ini berdasarkan penunjuk ekonomi Malaysia yang semakin memberangsangkan serta pengiktirafan negara sebagai hab utama dalam sektor semikonduktor dan tenaga hijau di Asia Tenggara.
“Antara fokus Malaysia apabila mengambil alih kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan adalah meningkatkan aktiviti ekonomi dan perdagangan di antara negara-negara anggota rantau ASEAN,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa peluang dalam industri sawit, automotif, farmaseutikal, produk perubatan, semikonduktor, sektor digital, dan tenaga diperbaharui telah dibincangkan bersama pemimpin industri dan perniagaan di Mesir.
“Malaysia merupakan antara negara pemain dan pengeluar utama dalam sektor tenaga hijau akan memanfaatkan kelebihannya itu dalam usaha merancakkan lagi aktiviti ekonomi dan perdagangan ‘intra ASEAN’,” tambahnya dalam kenyataan semasa sesi meja bulat bersama kira-kira 60 pemimpin industri dan perniagaan.
Anwar turut menyatakan bahawa sebelum bertolak ke Riyadh, Arab Saudi, beliau dan delegasi menghadiri sesi perbincangan dengan pemimpin perniagaan dari pelbagai sektor yang berpusat di Mesir, termasuk delegasi perniagaan Malaysia.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Menteri Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa Mesir, Hassan El Khatib, yang berperanan dalam mengukuhkan hubungan serta peluang pelaburan di Malaysia.
Comentarios