Elak rasuah, salah guna kuasa, Ketua Jabatan perlu buat pusingan kerja - JPA

28 September 2024
KUALA LUMPUR: Semua Ketua Jabatan perlu melaksanakan pusingan kerja di organisasi masing-masing mulai Oktober ini bagi memastikan setiap kementerian dan jabatan meningkatkan penyampaian perkhidmatan secara berkesan.
Menerusi kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), langkah itu bagi membendung dan menangani masalah prestasi kerja, ketirisan dana awam, penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.
Kegagalan dalam melaksanakan pusingan kerja boleh disifatkan sebagai cuai dalam melaksanakan tugas dan tidak bertanggungjawab.
Ketua Jabatan boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Langkah ini merupakan elemen penting yang menyumbang kepada kemajuan kerjaya pegawai awam dari segi peningkatan kompetensi, pengalaman dan motivasi.
“Ia menjadi salah satu sasaran dalam Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam selari dengan Surat Edaran Pelaksanaan Urusan Pusingan Kerja dikeluarkan oleh JPA pada 14 Mei lalu. Justeru, semua Ketua Jabatan hendaklah memandang serius terhadap pelaksanaan pusingan kerja di Kementerian atau Jabatan masing-masing,” kata kenyataan itu yang dikeluarkan pada Khamis.
Selain itu, Ketua Jabatan juga perlu mengenal pasti dan melaksanakan pusingan kerja terhadap pegawai yang wajar ditukarkan bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan sentiasa dinamik dan menepati kehendak semasa.
“JPA percaya bahawa tindakan ini akan menjadi peringatan kepada semua pegawai awam tentang kepentingan melaksanakan tugas dan mematuhi arahan yang telah ditetapkan. JPA akan terus memantau dan menilai pelaksanaan pusingan kerja ini untuk memastikan matlamat yang diharapkan tercapai,” katanya lagi.
Comments