Enam koperasi di Kapit terima Geran Bantuan Pembangunan SKM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Enam koperasi di Kapit terima Geran Bantuan Pembangunan SKM


5 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KAPIT: Enam buah koperasi di Kapit menerima Geran Bantuan Pembangunan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysis (SKM) melibatkan jumlah keseluruhan RM288,000.


Koperasi itu ialah Koperasi Song Kapit Berhad, Koperasi Komuniti Nanga Mukeh Song Kapit Bhd, Koperasi Sungai Teliai Kapit Berhad, Koperasi Semut Kapit, Koperasi Sungai Tisa Yong Kapit dan Koperasi Usahawan Bumiputera Kapit Bhd.


Penyampaian geran tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam Majlis Makan Malam Bersama Agensi Kuskop dan pemimpin koperasi Bahagian Kapit, di Dewan Sri Balleh Kapit, di sini, semalam.


Ewon berharap koperasi-koperasi yang menerima geran bantuan daripada SKM dapat memanfaatkan bantuan itu sebaiknya untuk memajukan lagi aktiviti koperasi.


Turut hadir Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Adun Pelagus Wilson Nyabong Anak Ijang, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar dan pemimpin-pemimpin setempat.


Ewon berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu sebanyak 1,159 buah koperasi didaftarkan dengan jumlah anggota seramai 310,125 orang dan syer/yuran terkumpul sebanyak RM224.38 juta.


“Manakala jumlah aset terkumpul berjumlah RM647.49 juta, sumbangan perolehan oleh gerakan koperasi di Sarawak pada tahun 2022 berjumlah RM392.59 juta.


“Statistik tersebut memperlihatkan perkembangan positif dan menunjukkan bahawa masyarakat kita semakin menerima dan berkeyakinan koperasi sebagai satu entiti perniagaan yang mampu meningkatkan pendapatan dan ekonomi mereka,” katanya.


bottom of page