top of page

Enam musim padi musnah, pesawah Piasau desak campur tangan kementerian

  • nabalunews
  • 48 minutes ago
  • 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


28 Februari 2026


KOTA BELUD: Lebih 360 ekar sawah padi di Kampung Piasau Kota Belud terbengkalai selama enam musim berturut-turut akibat kerosakan sistem pengairan yang dipercayai berpunca daripada kerosakan sistem pengairan sawah disebabkan oleh kerja-kerja projek pembinaan terusan tali air kerajaan bernilai jutaan ringgit.


Akibatnya, lebih 126 keluarga pesawah kehilangan pendapatan dengan anggaran kerugian hasil padi mencecah RM3.9 juta, tidak termasuk kos input benih, baja dan upah buruh.


Menurut Pengerusi Persatuan Kebajikan Pesawah Kampung Piasau, Fedelis Boyogo, projek "Repair and Improvement Works of Piasau Dunau Headworks" (No. Kontrak: JPS/P/SAB/P/128/2022) yang bermula beberapa tahun lalu telah mengganggu struktur tanah dan memutuskan bekalan air ke petak sawah.

Setiausaha persatuan Deven Sinteh berkata "Sebelum projek dimulakan, kami diberi jaminan aktiviti menanam tidak akan terganggu. Namun hakikatnya, sejak projek berjalan, setangkai padi pun tidak dapat kami tuai,"


Beliau menjelaskan bahawa projek di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui IADA Kota Belud itu telah merosakkan sistem pengairan sedia ada. Kontraktor yang dilantik ialah Minat Harapan Enterprise Sdn Bhd, dengan JPS Sabah bertindak sebagai Pegawai Penguasa.


Pelbagai aduan telah dikemukakan kepada jabatan dan agensi berkaitan di peringkat daerah dan negeri, namun tiada tindakan pembaikan menyeluruh dilaksanakan.

Pada 10 Februari lalu, persatuan telah membuat laporan polis (No. Laporan: KOTA BELUD/000841/26) sebagai rekod rasmi menyokong tuntutan ganti rugi.


Dalam kenyataan hari ini, persatuan menggesa KPKM dan JPS menjalankan siasatan teknikal segera, mengemukakan pelan pemulihan sistem pengairan, serta mengadakan perundingan rasmi pampasan dalam tempoh 14 hari.


"Kami memberi peluang kepada pihak berkuasa menyelesaikan perkara ini secara pentadbiran. Jika tiada tindakan, kami akan membawa kes ini ke mahkamah," tegas Deven.


Persatuan turut menuntut supaya satu jawatankuasa teknikal bersama ditubuhkan bagi memantau proses pemulihan, agar tragedi enam musim ini tidak berulang.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page