Ewon adakan lawatan kerja dua hari di Terengganu
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon adakan lawatan kerja dua hari di Terengganu

19 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA TERENGGANU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mengadakan lawatan kerja dua hari bermula hari ini di Terengganu untuk menyantuni usahawan-usahawan wanita berjaya kementerian itu yang menerima pembiayaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).


Selain melawat gerai sahabat usahawan AIM Terengganu, beliau turut melancarkan produk Sambal Mek Ngoh yang diusahakan oleh Haslinda Wahab.


Sepanjang dua hari lawatan kerja, Ewon juga akan mengunjungi kedai makan Rumah Makan Kampung Terengganu milik Fatini Syukriah Ahmad Zalil dan Mee Celup Thai Mek Lala yang diusahakan oleh Mazila Mazlan.


Pada hari kedua pula, beliau akan mengadakan pertemuan dengan sahabat-sahabat AIM di Balai Raya Kampung Duyung.


Kemudiannya akan melawat kedai Keropok Kak Tie iaitu pusat memproses dan menjual keropok lekor milik sahabat AIM, Hayati Mat Zin untuk melihat proses penghasilan keropok lekor dan melawat Mersmira Batik yang diusahakan oleh Tuan Amira Tuan Senbut, di Kuala Terengganu.


Sempena lawatan kerja itu, kementerian akan mengadakan perhimpunan bulanan bersama agensi-agensi di bawah KUSKOP di Terengganu.

bottom of page