Ewon alu-alukan cadangan inisiatif dari usahawan berjaya TEKUN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon alu-alukan cadangan inisiatif dari usahawan berjaya TEKUN

29 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersedia mendengar cadangan daripada usahawan berjaya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional berhubung inisiatif baharu yang boleh diperkenalkan bagi membantu usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, cadangan itu termasuk inisiatif untuk membantu golongan muda atau remaja yang tidak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau golongan profesional yang terjejas akibat pandemik Covid-19.


"Sekitar 30,000 anak muda yang tidak mengambil SPM dan tidak memiliki SPM. Sudah tentu keusahawanan boleh menjadi pilihan dan alternatif mereka. Dalam hal ini Kementerian dan TEKUN  Nasional sebagai agensi pembiayaan keusahawanan boleh memainkan peranan membantu mereka.

“Siapa lagi yang boleh mencadangkan inisiatif baharu kalau bukan komuniti usahawan itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan 25 Tahun, Tekun Nasional, di sini, semalam.


Ewon berkata, cabaran yang dihadapi usahawan PMKS ketika ini tidak sama seperti sebelum pandemik COVID-19 melanda dunia.


"Cabaran usahawan kita 22 tahun sebelum pandemik COVID-19, tidak sama dengan cabaran selepas pandemik. Ini memerlukan TEKUN Nasional dan KUSKOP melihat program-program, inisiatif-inisiatif dan  produk-produk baharu untuk membantu usahawan PMKS.


"Antara lain yang telah kita lancarkan tahun ini adalah Skim Usahawan Tamu bagi Sabah dan Sarawak dan juga Skim Usahawan Kraf. Sudah pasti akan ada lagi produk-produk baharu yang sesuai untuk kita lancar dan wujudkan,” katanya.

Ewon berkata, jika ada cadangan bersesuaian berhubung produk dan inisiatif terbaharu yang boleh diperkenalkan kepada usahawan PMKS, syor itu boleh diangkat dan dikembangkan menjadi produk.


"Mungkin ada juga di kalangan profesional yang selama ini bekerja di pelbagai sektor. Namun kerana pandemik COVID-19, mereka terpaksa beralih pekerjaan kepada keusahawanan dan mungkin ada cadangan mereka bagaimana TEKUN boleh membantu dari sudut pembiayaan kepada perniagaan yang mereka mahu laksanakan.


"Ini kerana seorang yang profesional sebelum ini pun boleh menjadi usahawan informal atau usahawan mikro atau usahawan kecil akibat pandemik dan sudah tentu mereka mengharapkan TEKUN dan agensi-agensi keusahawanan lain membantu menyediakan modal pembiayaan untuk memulakan perniagaan,'' katanya.

bottom of page