Ewon cadang agensi KUSKOP tawar pembiayaan secara terus peserta terbaik program INSKENEwon cadang agensi KUSKOP tawar pembiayaan secara terus peserta terbaik program INSKEN
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Ewon cadang agensi KUSKOP tawar pembiayaan secara terus peserta terbaik program INSKEN




18 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mencadangkan agar agensi di bawah kementerian itu menawarkan pembiayaan secara terus kepada peserta terbaik Program Bimbingan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN).


Beliau berkata, ini adalah antara pendekatan terbaik untuk mempercepatkan wawasan perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.


Katanya, sudah tiba masanya agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menawarkan pembiayaan secara terus kepada usahawan terbaik dan terpulang kepada mereka menerima atau sebaliknya.


“Kita mahu mereka berkembang daripada perusahaan mikro, kecil dan seterusnya meningkatkan perniagaan menjadi perusahaan sederhana yang tentunya akan memberi lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.


“Ini adalah peranan agensi di bawah kementerian yang bertanggungjawab menyediakan pembiayaan kepada para usahawan.


“Seperti pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan, penyedia biasiswa kerajaan atau korporat menawarkan biasiswa kepada pelajar cemerlang berkenaan. Maka adalah lebih baik agensi di bawah kementerian ini juga menawarkan pembiayaan secara terus kepada peserta terbaik,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN 2022, di Bangi Resort Hotel, semalam.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Dato Sri’ Suriani Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP Datuk Haji Zamri Salleh, Ahli Lembaga Pemegang Amanah INSKEN Datuk Sham Shamrat Sen Gupta dan Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN Muhd Firdaus Azharuddin.


Ewon turut berbangga kerana hampir semua usahawan yang menyertai program itu adalah golongan wanita dan ibu yang terlibat dalam perusahan mikro, kecil dan sederhana.


“Saya juga dilahirkan oleh seorang ibu yang dahulunya seorang penjual kecil-kecilan. Sudah tentu ibu saya juga amat berbangga dengan kejayaan rakan-rakan wanita dalam bidang keusahawanan.


“Berdasarkan taklimat kejayaan usahawan bimbingan INSKEN ada diantara mereka yang dahulunya peserta kini menjadi coach atau pembimbing.


“Ini amat membanggakan saya kerana mereka turut membantu rakan-rakan lain mencipta kejayaan dalam keusahawanan. Inilah usahawan yang patut dan wajar kita beri suntikan dana,” katanya.


Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Muhd Firdaus Azharuddin berkata,pencapaian cemerlang para peserta bimbingan INSKEN memberi semangat kepada agensi itu untuk melaksanakan lebih banyak program bimbingan pada 2023 agar lebih ramai usahawan dapat dibantu.


“Program bimbingan INSKEN dimulakan sejak 2017 terus menunjukkan prestasi terbaik dan wajarditeruskan supaya usahawan-usahawan yang dibimbing juga dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara,” katanya.


Beliau berkata, sepanjang tahun 2022 programbimbingan INSKEN menciptaRM8.7 juta lonjakan hasil jualan, 100 peluang pekerjaan baharu dan 37 perniagaan bertukar status daripada kategori mikro kepada perusahaan kecil.


“Pencapaian keseluruhan tahun ini direkodkan melalui pelaksanaan 109 program bimbingan yang terdiri daripada1,395 usahawan,” katanya.




bottom of page