top of page
nabalunews

Fahmi Fadzil usul pakej internet murah untuk pemandu teksi dan E-Hailing




24 November 2024


KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi digesa mencari penyelesaian terbaik untuk menyediakan pakej internet yang lebih murah dan berkualiti bagi membantu pemandu teksi dan e-hailing mengurangkan beban kos penggunaan data mereka.


Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah ini amat penting memandangkan golongan tersebut bergantung kepada data internet dalam pekerjaan mereka.


“Syarikat telco juga wajar memudahkan proses pertukaran kepada pelan yang lebih baik nanti, contohnya hanya melalui kaedah dalam talian tanpa perlu hadir ke premis,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Sumbangan Minyak Pelincir Enjin kepada 150 pemandu teksi dan e-hailing di Parlimen Lembah Pantai.


Beliau turut memaklumkan, Kementerian Komunikasi akan mengusulkan kepada syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pakej prabayar dengan harga lebih rendah kepada pemandu teksi.


Sebagai langkah awal, senarai 150 pemandu yang hadir pada program ini akan digunakan untuk memulakan perbincangan dengan pihak telco.


Beliau juga menekankan kepentingan mekanisme mudah bagi golongan ini menukar kepada pelan yang sesuai.


“Saya akan memastikan ruang diberikan untuk mereka melakukan perubahan pakej, dan mekanisme termudah akan diperkenalkan,” tambahnya.


Sementara itu, Fahmi mencadangkan agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mewujudkan usaha sama dengan pemandu teksi untuk membantu menyebarkan maklumat yang tepat kepada masyarakat.


“Kerja mereka melibatkan interaksi kerap dengan orang awam. Jadi, mereka boleh menjadi saluran dalam menyampaikan maklumat yang betul, terutama berkaitan isu atau persoalan penting,” katanya.

Comments


bottom of page