Gagal patuh piawaian, 279 arahan dikeluarkan kepada penyedia perkhidmatan mudah alih
- nabalunews
- Jul 29, 2025
- 1 min read

29 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengeluarkan 279 arahan kepada pelbagai penyedia perkhidmatan mudah alih di seluruh negara, berikutan kegagalan memenuhi piawaian minimum ditetapkan.
Dalam satu kenyataan hari ini, SKMM berkata daripada jumlah berkenaan, 154 arahan dikeluarkan kepada YTL Communications, diikuti CelcomDigi (50), TM Technology Services (38), U Mobile (27) dan Maxis (10).
Katanya, arahan tersebut selaras dengan Penentuan Suruhanjaya No. 2 Tahun 2023 bagi menangani ketidakpatuhan terhadap Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS) untuk perkhidmatan akses jalur lebar tanpa wayar.
“Ketidakpatuhan dikesan di pelbagai lokasi, termasuk kawasan bandar dan luar bandar yang memberikan kesan langsung terhadap kualiti pengalaman pengguna,” menurut kenyataan itu.
SKMM berkata, antara aspek yang dinilai dalam standard mandatori termasuk kelajuan muat turun, kependaman rangkaian, kehilangan paket, ketersediaan perkhidmatan, masa capaian laman web dan masa capaian penstriman video.
Jelasnya, penyedia perkhidmatan yang gagal mengambil tindakan penambahbaikan dalam tempoh ditetapkan boleh dikenakan penalti sehingga RM500,000 bagi setiap ketidakpatuhan seperti diperuntukkan bawah Subseksyen 105(5), Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta A1743).
“Sejak 2022, sebanyak 984 Arahan Suruhanjaya dikeluarkan iaitu 229 pada 2022, 208 arahan pada 2023, tiada arahan pada 2024 kerana kelulusan hanya diperoleh pada awal 2025 manakala 547 tahun ini,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai MSQoS dan senarai penuh arahan yang didaftarkan, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi SKMM di www.mcmc.gov.my.


















Comments