top of page
  • Wartawan Nabalu News

Guru, agen perpaduan generasi muda - Fadhlina

15 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menegaskan bahawa warga pendidik mempunyai peranan penting dalam membina semangat perpaduan di kalangan generasi muda.


Beliau berkata guru adalah agen yang bertanggungjawab untuk menerapkan nilai-nilai perpaduan kepada anak muda sejak dari sekolah.


"Kita boleh lihat bagaimana guru menyampaikan hasrat, impian dan tekad bagaimana perpaduan patut dilaksanakan di sekolah," katanya ketika melancarkan program Eksplorasi Rukun Negara Peringkat Sekolah Tahun 2023 di Dewan Kompleks Seri Bintang.


Program ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, pemahaman, penghayatan dan pengamalan (4P) Rukun Negara dalam kalangan murid sekolah dan menjadikannya sebahagian daripada sikap dan tingkah laku mereka.


Fadhlina juga berkata bahawa Kelab Rukun Negara akan diperluaskan ke semua sekolah termasuk sekolah swasta untuk menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan pelajar.


"Kelab ini akan menjadi peneraju perpaduan di sekolah-sekolah... Kita akan buat perluasan. Makluman akan diberikan dari semasa ke semasa. Ia bertujuan memastikan program perpaduan berjalan selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perpaduan Negara," katanya.


Menurutnya, terdapat 6,849 Kelab Rukun Negara di seluruh negara pada masa ini.


Turut hadir pada program tersebut ialah Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang yang berkata kabinet telah meluluskan sebuah memorandum agar Rukun Negara dilafazkan secara penuh, bermula dengan mukhadimah sebelum disusuli dengan lima prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara.


"Cita-cita kita untuk Rukun Negara dilafaz dengan penuh dimulakan dengan cita-cita atau mukhadimah sebelum dicakan lima prinsip Rukun Negara. ...Itu yang kita nak kerana penghayatannya amat penting. Kalau kita baca prinsip sahaja, mungkin it's a bit sketchy," katanya.

bottom of page