Hannah mohon maaf tak dapat bawa pulang pingat emas pertama Olimpik
- nabalunews
- Aug 13, 2024
- 2 min read

13 Ogos 2024
SEPANG: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kontinjen negara masih belum berjaya menghadiahkan pingat emas pertama di Sukan Olimpik.
Permohonan maaf itu dibuat Hannah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam ini.
“Saya bagi pihak kontinjen Malaysia memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana kami masih belum berjaya membawa pulang pingat emas yang pertama bagi Malaysia.
“Seperti yang telah diumumkan, program Road To Gold (RTG) adalah untuk dua kitaran Olimpik iaitu di Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
“Tetapi apa yang kita lihat kali ini adalah peningkatan dalam atlet-atlet RTG kita dan saya hanya nak maklumkan tiga orang atlet telah berjaya memecahkan rekod kebangsaan iaitu Datuk Azizulhasni (Awang), Nurul Izzah (Izzati Mohd Asri) dan Aniq Kasdan. Untuk rekod peribadi, Shah Firdaus (Sahrom) dan Syaqiera (Mashayikh) bagi sukan memanah,” katanya.
Dalam pada itu, Hannah menjelaskan jawatankuasa RTG akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.
“Untuk jawatankuasa RTG, kita akan bermesyuarat. Kita akan dapatkan laporan teknikal daripada setiap pasukan. Kita juga sedang menyediakan akaun yang akan diaudit dan saya sendiri akan bentangkan di Parlimen kerana kita akan jawab isu mengenai akaun yang telah kita gunakan secara telus untuk servis tambahan.
“Semua permintaan dan servis tambahan yang diminta oleh pemegang taruh kita iaitu jurulatih dan atlet-atlet RTG telahpun kita tunaikan sebelum kita ke sana,” jelasnya.
Untuk rekod, RTG adalah sebuah program yang diwujudkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menyelaras usaha membantu atlet negara yang berpotensi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
Semua atlet yang terpilih dalam RTG akan diberikan sokongan tambahan bagi membantu mereka merelisasikan impian memenangi pingat emas pada temasya terbesar dunia itu.
Selain diberikan elaun sebanyak RM3,000 sebulan, atlet turut dibantu menerusi sokongan sains sukan daripada Institut Sukan Negara (ISN) merangkumi keperluan psikologi, fisioterapi, tukang urut, analisis video dan perkhidmatan lain yang disediakan ISN.
Di Sukan Olimpik Paris 2024, kontinjen negara meraih dua pingat gangsa menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pemain perseorangan profesional lelaki, Lee Zii Jia.
Comentarios