Hanya 3 sentimeter pisahkan atlet Paralimpik dari Sabah dengan pingat gangsa
- nabalunews
- Sep 3, 2024
- 1 min read

3 September 2024
PARIS: Hanya 3 sentimeter memisahkan atlet Paralimpik dari Sabah, Jonathan Wong Kar Gee dengan pingat gangsa dalam acara lompat jauh lelaki T12 (kecacatan fizikal) pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France, semalam.
Lompatan pertama Jonathan menyalakan harapannya untuk menghadiahkan pingat gangsa buat negara dalam acara lompat jauh lelaki T12 pada Sukan Paralimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, harapan tinggal impian, apabila atlet Argentina, Fernando Vazquez melakukan lompatan 6.88 meter (m) dalam percubaan akhir sekali gus mengatasi catatan 6.85m percubaan pertama Jonathan pada hari keempat olahraga di Stade de France.
Atlet berusia 33 tahun itu mengulangi catatan 6.85m pada percubaan keenam dan terakhirnya justeru terpaksa akur dengan tempat keempat daripada enam peserta.
Emas menjadi milik Said Najafzade dari Azerbaijan dengan 7.27m dan Donior Saliyev dari Uzbekistan (7.16m) meraih perak.
Keputusan hari ini menyaksikan Kar Gee membaiki prestasinya selepas menduduki tempat keenam acara lompat jauh T13 (kecacatan penglihatan) dengan catatan 5.93m pada penampilan sulung di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Catatan terbaik atlet berusia 33 tahun itu ialah 7.22m yang dilakukannya ketika Terbuka China 2018.
Semalam, seorang lagi atlet Paralimpik dari Sabah, Eddy Bernard menyumbang pingat sulung buat Malaysia menerusi gangsa 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal) dengan catatan 11.58 saat (s) yang juga rekod Asia baharu.
תגובות