Hari Kebangsaan 2024: Jemaah Menteri sifatkan persembahan terbaik, pamer kelainan
31 Ogos 2024
PUTRAJAYA: Jemaah Menteri berpuas hati dengan kelainan dan keunikan persembahan yang dipamerkan pada sambutan Hari Kebangsaan 2024.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan ke-67 adalah yang terbaik setakat ini.
“Ada perubahan menarik dan merupakan terbaik setakat ini. Tahniah kepada Fahmi Fadzil (Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024) dan jawatankuasa kerana membuat persembahan terbaik,” katanya yang ditemui selepas sambutan berkenaan di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini, lapor Buletin TV3.
Beliau berkata, persembahan kegemarannya adalah pembukaan iaitu perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang berpakaian etnik lengkap beraksesori dan persembahan penutup iaitu persembahan tarian bertajuk ‘Cuci Rasuah’.
Sementara itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, sambutan kali ini meriah dan sangat berbangga kerana Malaysia telah mengecapi kemerdekaan selama 67 tahun.
“Penting untuk semua kekalkan kemerdekaan ini dalam erti yang sebenar,” katanya.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pula tertarik dengan penyertaan golongan muda menerusi persembahan ‘teres manusia’ oleh 2,000 pelajar sekolah menengah yang dianggap amat baik dan sangat tersusun.
“Kita dapat sekali lagi sambut 67 tahun negara kita (merdeka), sejahtera, aman, jauh daripada segala bencana, rakyat yang hidup dengan sejahtera walaupun berbilang kaum budaya bahasa dan agama,” katanya.
Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bertemakan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ di Putrajaya adalah acara tahunan kedua di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke sambutan tersebut iaitu kali pertama Seri Paduka Baginda berdua menyaksikan acara gilang-gemilang itu selepas Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan serta ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, masing-masing pada 31 Januari dan 20 Julai lalu.
Comments