top of page
  • nabalunews

Hari Kebangsaan 2024: Persembahan Chingay buat penampilan sulung


31 Ogos 2024


PUTRAJAYA: Perarakan Chingay membuat penampilan sulungnya pada perarakan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya di sini hari ini, mempamerkan aksi hebat mengimbangi bendera gergasi sambil berarak, dengan iringan tarian singa dan naga.


Kemunculan seni jalanan yang berasal dari China sekitar dua abad yang lepas itu jelas mencuri tumpuan ramai dengan penampilan aksi bertenaga lagi mempesonakan 23 ahli Chingay dari Persekutuan Tarian Singa dan Naga Malaysia.


Memetik laporan Buletin TV3, Setiausaha Agung Persekutuan Tarian Singa dan Naga Malaysia, Ching Xiao Fong berkata, pihaknya menganggap peluang untuk mempamerkan persembahan Chingay pada sambutan ini sebagai satu penghormatan besar buat mereka, kerana ia merupakan peristiwa penting dalam sejarah pertunjukan Chingay di Malaysia.


“Kehadiran Chingay biasanya dilihat di Pulau Pinang dan Johor pada Tahun Baharu Cina atau pada persembahan warisan di kuil. Jiwa kami sebagai rakyat Malaysia amat tersentuh apabila diberi peluang untuk turut sama memeriahkan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan ini.


“Ramai anggota persatuan kami turut menyuarakan rasa teruja dengan pengalaman pertama mereka menyertai sambutan besar dalam negara. Ia benar-benar melonjakkan semangat mereka,” katanya kepada Bernama dalam nada sebak ketika ditemui selepas perarakan.


Sementara itu Ching berkata seni Chingay telah diadaptasi dengan unik untuk masyarakat Malaysia, dan ia diharap dapat terus berkembang dengan penglibatan semua lapisan masyarakat.


“Buat masa ini, ahli kami hanya terdiri daripada masyarakat Cina dan India, khususnya remaja, tetapi kami ingin melihat lebih banyak penyertaan daripada orang ramai,” katanya.


Beliau turut melahirkan harapan agar Chingay dijadikan sebahagian daripada aktiviti kokurikulum di sekolah pada masa hadapan, seperti tarian singa dan naga.

Comments


bottom of page