top of page
nabalunews

Harimau Malaya ke final Pestabola Merdeka 2024

6 September 2024


KUALA LUMPUR: Pasukan bolasepak kebangsaan, Harimau Malaya mara ke perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2024 dan akan berdepan Lubnan, Ahad ini.


Skuad kendalian Pau Marti Vicente itu bangkit dari ketinggalan satu gol untuk menewaskan Filipina 2-1 dalam aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil.


Pengendali dari Sepanyol itu kini berpeluang untuk mengatasi pencapaian bekas bosnya, Kim Pan Gon sekiranya berjaya menjulang trofi Pestabola Merdeka 2024.


Lebih bermakna, kemenangan itu juga diraih ketika Harimau Malaya beraksi tanpa kehadiran Ultra Malaya yang memboikot kejohanan itu dengan jumlah penonton juga tidak diumumkan seperti aksi sebelum ini.


Pada perlawanan itu, Filipina yang berada di ranking ke-147 dunia mengejutkan Malaysia selepas rembatan Jefferson Tabinas terkena kaki Feroz Baharudin sebelum menerjah jaring pada minit ke-27.


Ketika babak pertama berbaki dua minit, Syamer Kutty Abba menyamakan kedudukan 1-1 apabila merembat masuk umpanan daripada Feroz.


Pemain gantian, Safawi Rasid kemudian meletakkan Harimau Malaya di depan 2-1 menerusi sepakan penalti pada minit ke-73 selepas Arif Aiman Hanapi dijatuhkan Matthew Baldisimo.


Aksi di atas padang terus rancak selepas itu dengan kedua-dua pasukan saling menyerang, namun tiada tambahan gol sehingga pengadil meniupkan wisel penamat.


Untuk rekod, Harimau Malaya adalah naib juara Pestabola Merdeka 2023, tewas 0-2 kepada Tajikistan di final.


Ketika itu skuad negara dilatih Pan Gon.

Comments


bottom of page