top of page

Hospital Sandakan dan Tawau perlu dinaik taraf kepada hospital bertaraf negeri untuk beri khidmat pakar yang lebih baik

  • nabalunews
  • Sep 3, 2024
  • 2 min read


3 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta segera menaiktaraf Hospital Duchess Of Kent Sandakan dan Hospital Tawau kepada hospital yang bertaraf negeri.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Exco Kesihatan Negeri, Datuk James Ratib, berkata ini penting bagi membolehkan doktor sub pakar ditempatkan di hospital berkenaan selain akan memudahkan pesakit yang memerlukan rawatan pakar tanpa perlu dirujuk ke Kota Kinabalu yang jauh dari daerah berkenaan.


Pada masa yang sama, beliau berharap KKM melihat keperluan baikpulih perumahan kakitangannya di Sabah kerana ada kuarters perumahan yang dilawatinya agak daif.


James berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kolokium Kesihatan Awam Sabah Kali Ke-16 di Ballroom Sabah Hotel, Sandakan, hari ini yang dihadiri lebih 300 warga kesihatan dari seluruh negeri Sabah.


Kolokium yang diadakan bermula 2 hingga 4 September ini membawa tema "Mengharmonikan Kesihatan dan Kemajuan Lestari : Kesihatan Awam Nadi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs)".


Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, ADUN Labuk merangkap Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Samad Jambri, ADUN Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Asits Sanna, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Kesihatan Awam) merangkap Pengerusi Pelaksana kolokium itu, Dr. Maria Suleiman dan Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan, Dr.Faiz Amoh serta mantan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Christina Rundi.


Sementara itu, James berkata, kertas kerja untuk peruntukan bagi Institut Jantung Sabah juga sedang giat dirangka selain perbincangan antara Jabatan Kesihatan Negeri bersama kementerian berkaitan di peringkat Persekutuan.


Kepada satu soalan berkaitan masalah dihadapi pesakit dialisis yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan tetapi tidak lagi menerima bantuan bayaran bil rawatan daripada pihak kebajikan, James berkata mereka perlu menjelaskan bil itu sendiri sejak Oktober 2022.


Katanya, tiada pesakit seharusnya tidak menerima rawatan berterusan di hospital awam di daerah ini, namun pihaknya akan melihat isu ini kelak.


Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, James berkata satu daripada pendekatan SDGs di akar umbi dilaksanakan melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).


ANMS adalah Tawaran Baharu (new deal) kerajaan bertujuan menjadikan rakyat Malaysia Sihat Sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong hidup sihat.


Manakala melalui kerjasama ANMS-SMJ, inisiatif amalan cara hidup sihat juga diterjemahkan oleh kementerian beliau menerusi penganjuran Program Sabah Sihat yang dilancarkan secara serentak pada 8 Jun lalu yang melibatkan enam zon di seluruh negeri.  


Pelbagai aktiviti dan program dilaksanakan termasuk Skim Bantuan Pemeriksaan Secara Percuma yang dilaksanakan di semua daerah bagi rakyat Sabah di bawah kementerian beliau agar tiada rakyat tercicir dari menerima khidmat kesihatan.


Manakala Asits memberitahu SDGs ini merupakan koleksi 17 Matlamat yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Perhimpunan Agung PBB pada September 2015, di New York, Amerika Syarikat untuk dicapai pada tahun 2030 sebagai agenda pembangunan dan kemaslahatan manusia.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page