HOTEL PERLU MOHON SEMULA KEBENARAN BEROPERASI HOTEL PERLU MOHON SEMULA KEBENARAN BEROPERASI
top of page
  • nabalunews

HOTEL PERLU MOHON SEMULA KEBENARAN BEROPERASI


Gambar Hiasan

5 Jun 2021


KUALA LUMPUR: Surat kebenaran beroperasi bagi premis penginapan perhotelan yang dibenarkan, perlu dimohon melalui portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang dibangunkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bermula esok hingga 14 Jun.


Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam kenyataan memaklumkan semua permohonan berkaitan sektor perhotelan untuk tujuan kuarantin, pengasingan dan pekerjaan bagi perkhidmatan perlu akan diproses dan diluluskan oleh kementerian itu melalui platform CIMS 3.0.


Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.


"Setiap permohonan juga perlu kemukakan salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terkini dan lesen perniagaan premis penginapan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang masih sah.


"Surat kebenaran pergerakan yang dikeluarkan sebelum ini oleh MOTAC hanya sah sehingga tengah malam ini iaitu sebelum 12 tengah malam (5 Jun) dan selepas itu, mulai esok (6 Jun) semua kebenaran pergerakan akan menggunakan surat kebenaran daripada MITI sahaja," jelas kenyataan itu.


Kementerian itu memberitahu semua pengendali hotel yang berkenaan perlu mendaftar semula dan boleh terus memuat turun surat kebenaran beroperasi melalui pautan notification.miti.gov.my.


Menurut kenyataan itu, dengan perkembangan terbaru itu, pergerakan pekerja bagi sektor perhotelan yang dibenarkan hanya boleh menggunakan Surat CIMS 3.0 dan surat pengesahan lantikan daripada majikan atau pas pekerja.


"Pihak MOTAC sentiasa komited dalam membantu melancarkan proses kebenaran beroperasi bagi sektor perhotelan yang dibenarkan tetapi dalam masa sama perlu akur dengan keputusan kerajaan untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19," menurut kenyataan itu.


Untuk pertanyaan lanjut berhubung surat kebenaran pergerakan bagi sektor perhotelan, pemohon boleh mengemukakan e-mel melalui plncovid19@motac.gov.my. - Bernama

bottom of page