Individu positif yang sudah divaksin wajib jalani kuarantin tujuh hari – KhairyIndividu positif yang sudah divaksin wajib jalani kuarantin tujuh hari – Khairy
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Individu positif yang sudah divaksin wajib jalani kuarantin tujuh hari – Khairy


Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

15 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengemaskini syarat kuarantin bagi individu yang didapati positif Covid-19 dan kontak rapat.


Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, individu yang positif dan telah divaksin sepenuhnya serta tidak mengalami gejala adalah diwajibkan untuk menjalani perintah pengasingan selama tujuh hari.


Manakala bagi individu yang positif tetapi tidak divaksin atau bergejala perlu menjalani perintah pengasingan selama sepuluh hari.


“Berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kes positif Covid-19 dan kontak rapat kes, KKM telah membuat penilaian semula tempoh pengawasan dan pemerhatian serta memutuskan ketetapan terkini.


"Penilaian kesihatan akan dibuat sebelum pelepasan diberikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Ujarnya lagi bagi kontak rapat kepada kes positif termasuk jangkitan varian Omicron yang telah mendapat dos penggalak perlu menjalani kuarantin selama lima hari.


Sementara itu, individu kontak rapat yang telah lengkap vaksinasi dan yang belum lengkap atau tiada vaksinasi perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari.


“Prosedur ini akan mula berkuat kuasa pada Ahad, 16 Januari dan turut terpakai ke atas mereka yang sedang menjalani pengasingan dan kuarantin.


“Manakala, prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai,” katanya.


Tambahnya, KKM juga telah meningkatkan kesiapsiagaan sistem perkhidmatan kesihatan dalam menghadapi kemungkinan peningkatan kes susulan pelaporan kes jangkitan varian Omicron dalam negara.


“Oleh itu, KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optima.


“Ini bagi mengelakkan gejala jangkitan yang lebih teruk serta komplikasinya,” katanya.



bottom of page