Isu Sekolah Daif Sabah Akan Diberi Perhatian
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

15 Januari 2026
KOTA KINABALU: Isu sekolah daif di Sabah adalah antara perkara yang akan diberi perhatian Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI).
Menterinya Datuk James Ratib berkata, pihaknya sedar, ada prasarana pendidikan di negeri ini yang masih daif khususnya di kawasan luar bandar.
Katanya, ekoran itu, fokus utama kementerian kini adalah tadbir urus pendidikan di Sabah, iaitu kolaborasi erat antara pegawai Persekutuan dan Negeri.

“Dalam apa jua keadaan, kita mesti sentiasa bekerjasama, saling menyokong dan bergerak sebagai satu pasukan demi kepentingan pendidikan anak-anak Sabah.
“Soal bidang kuasa tidak seharusnya menjadi penghalang kepada tindakan yang pantas dan berkesan. Sebagai contoh, insiden Sekolah Kebangsaan Rampayan yang dilanda banjir sebelum ini.
“Walaupun sekolah tersebut merupakan entiti di bawah Persekutuan, namun sebagai kementerian yang menyelaras pendidikan di peringkat negeri, kita tidak berdiam diri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan amanat bersama warga kementerian di Pusat Konvokesyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis.
Turut hadir, Pembantu Menteri KPSTI, Jordan Jude Ellron bersama Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hassan Mahali.
James berkata, beliau akan turun padang bagi meninjau keadaan dan menghulurkan bantuan serta-merta serta memberi kerjasama sepenuhnya demi kebajikan murid dan warga sekolah yang memerlukan.

“Inilah semangat kerja yang saya mahu, cepat bertindak, tidak beralasan, dan meletakkan
kepentingan rakyat di hadapan.
“Sehubungan itu, saya mengarahkan agar semua agensi dan jabatan berkaitan agar memaklumkan sebarang permasalahan secara sehala dan tepat.

“Salurkan maklumat tersebut kepada pihak saya dengan segera supaya perkara-perkara berkaitan pendidikan, sains, teknologi dan inovasi dapat saya angkat, bangkitkan dan rundingkan di peringkat Persekutuan dengan lebih berkesan,” katanya.


















Comments