Pemuda UPKO Kota Belud Adakan Mesyuarat Pasca Pilihan Raya Umum
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

15 Januari 2026
KOTA BELUD: Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud telah mengadakan mesyuarat sulung bagi tahun 2026 pada Ahad lalu di Pejabat Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (PPADUN) Kadamaian, Piasau di sini.
Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, Jolyhame Saran, menjelaskan bahawa mesyuarat tersebut merupakan sesi ‘Post Mortem’ bagi menilai semua program yang telah dilaksanakan oleh pergerakan pemuda pada tahun lalu.
Beliau mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian dan ketua-ketua pemuda cawangan atas sokongan serta kerjasama erat dalam menjayakan pelbagai program sepanjang tahun 2025.
“Sokongan ini adalah sangat bermakna, terutamanya dalam memastikan kemenangan mutlak calon UPKO bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, iaitu Datuk Ewon Benedick,” katanya.
Antara kejayaan utama yang dilaporkan ialah Karnival Bola Sepak Piala Pisompuruan Datuk Ewon Benedick, Pertandingan Tarik Tali Terbuka Kota Belud, penganjuran dalam Pertandingan Rombituon Kaamatan UPKO 2025, Larian Pisompuruan sempena Hari Malaysia, serta pertandingan dart dan beberapa acara sukan lain.
Pergerakan tersebut juga turut melaksanakan beberapa program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di sekitar Kadamaian.
Selain menilai prestasi lepas, mesyuarat tersebut turut membincangkan perancangan takwim program untuk tahun 2026.
Jolyhame menyatakan bahawa pelaksanaan program akan diperbaiki dengan pendekatan yang lebih sistematik.
“Program besar seperti bola sepak akan dipertingkatkan dengan menggunakan format liga yang akan berlangsung sepanjang tahun, dan disertai dengan hadiah yang lebih besar serta berbaloi,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Presiden UPKO, Datuk Ewon , yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, sentiasa memberi sokongan padu terhadap aktiviti pemuda UPKO Kota Belud.
Jolyhame juga mengingatkan bahawa tahun 2026 ini akan menyaksikan Mesyuarat Agung Tri-Tahunan UPKO, dan setiap bahagian dijangka akan menyertai pertandingan yang dianjurkan.
“Sesiapa sahaja layak menyertai, namun yang penting ialah memberi sokongan yang padu kepada kepimpinan parti, khususnya Presiden kita,” tegasnya.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Pemuda UPKO Kota Belud, Joel Deukin; Bendahari Pemuda, Stanley Musa; serta beberapa AJK yang lain.


















Comments