Isu Sijil Halal: Bincang Dalam Mesyuarat, Tidak Perlu Timbul Kontroversi - PM Anwar
- nabalunews
- Sep 8, 2024
- 2 min read

8 September 2024
SEREMBAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan pihak yang mempunyai cadangan dan prihatin berkaitan pensijilan halal, supaya membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat.
Beliau berkata perkara yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum tidak perlu dijadikan isu sehingga menimbulkan kontroversi.
“Ini pandangan individu, kalau ada cadangan, ada concern, bawa dalam mesyuarat dan kita teliti...tak payah jadi begini menimbulkan kontroversi.
“Peraturan perlu dibuat supaya umat Islam tak rasa was-was. Tapi kalau dia (individu itu) rasakan peraturan itu tidak diperlukan untuk beberapa kawasan tertentu, bincanglah secara elok,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Perdana Menteri menjawab pertanyaan media berhubung kenyataan individu tertentu berkaitan pensijilan halal.
Anwar sebelum itu merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lestari Pertama di Lebuhraya Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan) Lebuhraya Utara-Selatan di Seremban hari ini.
Turut hadir, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Seri Hasni Mohammad.
Perdana Menteri berkata perkara berkaitan agama dan keharmonian yang terbina di negara ini perlu terus terpelihara dengan baik.
Beliau berkata negara juga dalam keadaan baik dari aspek ekonomi dan politik serta mendapat penghargaan dunia yang perlu diberikan perhatian demi pembangunan rakyat keseluruhannya.
“Kita kena jaga sentimen orang Islam dan bukan Islam. Cara dia runding cara elok. Bukan nak tunjuk kehebatan masing-masing. Negara kita dalam keadaan baik sekarang, politik stabil dan penghargaan dunia juga baik, kenapa perkara ini nak dirosakkan?,” katanya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dilapor mempertimbangkan cadangan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok kemudian dilapor menyatakan cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan seperti itu mendapatkan pensijilan halal berpotensi menambah beban kepada perniagaan, termasuk membabitkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Media hari ini melaporkan polis membuka kertas siasatan terhadap Teresa Kok bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang mendakwa sijil halal akan menambah beban peniaga dan memalukan negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya menerima lima laporan di seluruh negara berkaitan kenyataan itu.
"Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Prosedur operasi standard (SOP) siasatan 3R (Raja, agama dan kaum) akan dijalankan selepas laporan polis diterima dan semua saksi-saksi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan," kata Razarudin seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Comments