top of page

Jemaah Menteri diminta buat persiapan rapi menjelang sidang Parlimen

  • nabalunews
  • Oct 8, 2024
  • 2 min read

8 Oktober 2024


PUTRAJAYA: Barisan Jemaah Menteri telah diarahkan untuk membuat persiapan yang rapi dan teliti menjelang persidangan Parlimen yang akan berlangsung minggu hadapan bagi memastikan setiap isu dan perbincangan yang bakal dibangkitkan dapat ditangani dengan baik serta berkesan.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan perkara itu semasa mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.


Menurut Fahmi, Perdana Menteri mahukan setiap anggota kabinet bersiap sedia dengan maklumat terkini, agar setiap keputusan yang diambil mencerminkan keprihatinan terhadap kepentingan rakyat dan negara.


“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, ada dibangkitkan beberapa perkara dari segi persiapan terutama dalam kalangan menteri-menteri (dan timbalan menteri) untuk memastikan usaha untuk menjawab soalan dengan baik.


“(Perkara itu termasuk) tahap kesiapsiagaan untuk membentangkan sejumlah rang undang-undang (RUU) serta usul yang mungkin akan dibincang dan dibahaskan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini hari ini.


Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 akan bermula pada 14 Oktober hingga 12 Disember selama 35 hari.


Ditanya sama ada mesyuarat Kabinet ada dimaklumkan mengenai Belanjawan 2025, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri hanya akan mengetahui inti pati belanjawan ketika mesyuarat Jemaah Menteri pada waktu pagi hari belanjawan itu dibentangkan.


“Di situ kita akan (ada) maklumat mutakhir mengenai beberapa keputusan dan bakal pengumuman (inti pati Belanjawan 2025). Ia tertakluk kepada Perdana Menteri dan disahkan oleh Kementerian Kewangan.


“Jadi, waktu ini, kita ada mendapat sedikit maklumat tapi ia belum muktamad. Jadi, saya tidak ada sebarang maklumat tambahan dan tidak ada spekulasi. Kita tunggu 18 Oktober ini,” katanya.


Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page