• Wartawan Nabalu News

Kadar kebolehjangkitan Covid semakin tinggi, tolong jangan leka – Persatuan Perubatan


13 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan Covid-19 yang semakin tinggi dan peningkatan jumlah kemasukan ke hospital sejak minggu lepas adalah satu petanda agar orang ramai tidak leka dan terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).


Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Dr Koh Kar Chai berkata, dengan keadaan trend terkini serta kes baharu yang mengatasi kes sembuh, ianya adalah sesuatu yang perlu dibimbangkan.


Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan telah meningkat kepada 1.04, di mana pada kali pertama ia melebihi paras 1.0 adalah sejak 31 Ogos.


“Sehubungan itu, kami ingin mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak leka dengan keadaan semasa memandangkan kadar kejangkitan masih tinggi.


“Jangan terlalu terpengaruh dengan berita bahawa Malaysia sedang memasuki fasa endemik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Di peringkat nasional, kementerian kesihatan melaporkan bahawa trend kemasukan hospital yang telah menurun selama berminggu-minggu telah berubah dan meningkat sebanyak 2.95 peratus dalam tempoh tujuh hari terakhir berbanding minggu sebelumnya.


Kenaikan itu sebahagian besarnya disumbangkan oleh Kuala Lumpur (+85.0%), Melaka (+41.2%), Negeri Sembilan (+20.4%), Perak (+16.4%) dan Johor (+12.0%) dalam tempoh yang ditetapkan.


Koh berkata keadaan di Terengganu amat membimbangkan kerana 84 peratus katil di unit rawatan rapi (ICU) telah digunakan.


“Kematian masih ada dan bagi mereka yang bernasib baik untuk pulih, ramai yang memerlukan rawatan perubatan dan pemulihan jangka panjang selepas menderita akibat virus itu.


“Bagi mereka yang menghidap ‘long Covid’, akan timbulnya kemurungan dan akhirnya keinginan untuk hidup pun hilang.


"Penderitaan sebahagian mangsa yang terselamat ini adalah sesuatu yang menyedihkan dan perlu dilihat oleh mereka yang masih tidak percaya akan Covid-19," tambahnya.