Kaedah Perkasa insiatif untuk manfaat komuniti India akan dibincangkan - Ramanan
- nabalunews
- Oct 30, 2024
- 2 min read

30 Oktober 2024
KUALA LUMPUR: Arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) supaya memperbanyakkan lagi program yang memberikan manfaat kepada komuniti India akan dibincangkan untuk memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan segera.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, yang dipertanggungjawabkan oleh Perdana Menteri untuk menyelia usaha ini, menzahirkan komitmen penuh untuk melaksanakan yang terbaik demi memastikan harapan dan keperluan komuniti India di negara ini diberi perhatian dan dipenuhi.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri yang menaruh sepenuh kepercayaan kepada beliau, untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.
“Saya akan memaklumkan perkembangan terkini ini (arahan Perdana Menteri) kepada Menteri KUSKOP, Datuk Ewon Benedick dan akan melakukan perbincangan dengan beliau mengenai langkah seterusnya,” katanya dalam kenyataan di sini, pada malam Selasa, lapor Bernama.
Anwar dalam hantaran di laman Facebook berkata Ramanan dipertanggungjawabkan untuk menyelia, bagi memastikan antara lain peruntukan dalam Belanjawan 2025 untuk komuniti itu mencapai matlamat.
Perdana Menteri berkata perkara itu diputuskan dalam pertemuan beliau bersama pengurusan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan beberapa Ahli Parlimen yang mewakili masyarakat India, bagi membincangkan pandangan idea untuk terus memperkasa komuniti India, pada Selasa.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata selain MITRA, program lain melibatkan masyarakat India ialah Skim Pembiayaan Pemerkasaan (SPUMI) Goes Big melalui TEKUN Nasional dan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i).
Selain itu, Prosperity, Empowerment and A New Normal (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia dan Business Accelerator Programmefor Indian Small Business(I-BAP) melalui SME Corp dengan kesemua inisiatif ini, kata Ramanan, telah membawa banyak manfaat yang bermakna kepada usahawan India.
Terdahulu Ramanan ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pelan Hala Tuju 2.0 SME Bank di sini menjelaskan, beliau yang turut hadir dalam pertemuan bersama Perdana Menteri pagi tadi, dipertanggungjawabkan melapor dan menjawab segala inisiatif dan isu membabitkan masyarakat India.
“Perdana Menteri mengarahkan saya menjawab soalan berkaitan dengan MITRA dan juga soalan-soalan lain berkaitan,” katanya menambah bahawa ketetapan itu dibuat bagi mengelak berlaku kenyataan yang mengelirukan.
Comments