Kementerian Perpaduan komited sokong NGO melalui bantuan kewangan program perpaduan

23 Januari 2025
PETALING JAYA: Kementerian Perpaduan Negara menegaskan komitmennya untuk terus menyediakan bantuan kewangan kepada badan bukan kerajaan (NGO) bagi menganjurkan program yang memupuk perpaduan dalam masyarakat.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata kementerian berharap NGO yang menerima bantuan tersebut dapat memperluaskan usaha dan meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program perpaduan di seluruh negara.
“Sebanyak 78 program perpaduan yang diterajui NGO dengan kerjasama kementerian telah dilaksanakan tahun lalu, melibatkan 621,739 peserta di seluruh negara,” katanya pada Majlis Pelancaran Portal Bantuan Kewangan Program Perpaduan (BKPP) di Kuala Lumpur.
Beliau turut menekankan fokus kementerian pada 2025 terhadap program berteraskan harmoni dalam kepelbagaian dan pembinaan negara bangsa.
“Melalui penerapan dua fokus ini, usaha memperkasakan hubungan antara pelbagai kelompok masyarakat serta pembentukan identiti nasional dapat direalisasikan,” katanya.
Aaron juga menekankan pentingnya tatakelola baik sebagai aspek kritikal untuk kemakmuran negara.
“Tatakelola yang konkrit mampu menjana ketelusan, akauntabiliti, keterangkuman dan keberkesanan, yang menyumbang kepada pentadbiran madani dan demokratik,” tambahnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa permohonan bantuan kini diuruskan sepenuhnya secara dalam talian melalui portal BKPP, sejajar dengan reformasi perkhidmatan awam dan usaha memperkukuh tatakelola.
“Dengan adanya portal ini, diharapkan proses permohonan dan kelulusan bantuan kewangan kepada NGO menjadi lebih efisien, sekaligus memanfaatkan teknologi untuk kebaikan bersama,” katanya.
Comments