top of page

Kenderaan persiaran wajib sedia pemandu pelancong berlesen

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 2 min read

12 Februari 2026


PUTRAJAYA: Kenderaan pelancongan yang menjalankan aktiviti persiaran wajib menyediakan pemandu pelancong berlesen secara berasingan selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992.


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan, Pemandu kenderaan pelancongan tidak dibenarkan memikul dua peranan serentak ketika melaksanakan perjalanan persiaran.


Menurut beliau, tugas pemandu adalah mengemudi kenderaan dengan selamat, manakala pemandu pelancong pula bertanggungjawab memberi penerangan dan menjaga kebajikan pelawat sepanjang perjalanan.


“Hal ini kerana keadaan tersebut boleh menyebabkan pemandu gagal memberi tumpuan sepenuhnya ketika mengemudi kenderaan.


“Dalam usaha memajukan industri pelancongan Malaysia, memastikan keselamatan pelancong dan pelancongan yang selamat ialah tanggungjawab yang mesti dipikul bersama,” katanya dalam kenyataan semalam.


King Sing berkata, aspek keselamatan dan pembahagian tugas secara profesional tidak boleh dipandang ringan, terutama selepas beberapa insiden kemalangan jalan raya melibatkan pelawat asing dilaporkan sejak kebelakangan ini.


Bagaimanapun, katanya, mengambil kira keperluan operasi sebenar industri serta situasi pergerakan pelancong antara lokasi berbeza, kementerian melalui garis panduan dikeluarkan pada 2009 memperuntukkan pengecualian tatacara dalam keadaan tertentu melibatkan keperluan menggunakan khidmat pemandu pelancong.


“Pengecualian khidmat pemandu pelancong akan terpakai secara automatik bagi perjalanan 'shuttle' yang hanya melibatkan perkhidmatan pengangkutan dari satu lokasi ke satu lokasi (point-to-point), dengan jumlah pelancong tujuh orang ke bawah, sama ada pelawat tempatan atau asing.


“Pengecualian tatacara sedia ada hanya terpakai kepada perkhidmatan pengangkutan ‘point-to-point’ yang ditakrifkan secara ketat, dan tidak merangkumi sebarang bentuk aktiviti persiaran, penerangan atau persinggahan di lokasi tarikan,” ujarnya.


Bagi kenderaan pelancongan membawa tujuh orang ke atas, katanya, pengusaha perlu mengemukakan permohonan kepada Pesuruhjaya Pelancongan melalui Sistem Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (Sistem Tourlist) sebelum pengecualian boleh dipertimbangkan.


Dalam pada itu, King Sing mengingatkan pengusaha pelancongan supaya tidak menyewakan lesen kepada pemandu atau pengendali lain.


“Kami mendapati terdapat segelintir pengusaha pelancongan berlesen yang mengamalkan ‘penyewaan’ lesen, iaitu menyewakan lesen kepada pemandu kenderaan pelancongan atau pengendali kenderaan pelancongan. Perkara ini tidak lagi boleh kami biarkan.


“Dalam isu melibatkan keselamatan pelancong, seluruh industri harus memikul tanggungjawab, dan bukannya terus beroperasi dengan sikap tidak bertanggungjawab. Jika didapati berlaku pelanggaran sedemikian, tindakan tegas akan diambil,” katanya.


Beliau turut memaklumkan kementerian terbuka menerima pandangan pemain industri namun menegaskan perbincangan dasar perlu dibuat melalui saluran rasmi dan bukan secara terbuka bagi memastikan persefahaman yang selaras serta mengelakkan kekeliruan.


Selain itu, King Sing menjelaskan perbincangan antara MOTAC dan Kementerian Pengangkutan berhubung isu dwi-lesen kini berada di peringkat akhir bagi memperjelas bidang kuasa dan penguatkuasaan.


“Langkah ini juga mencerminkan komitmen kementerian dalam memelihara pembangunan ekosistem pelancongan negara yang sihat, serta memastikan pelaksanaan selari dengan matlamat keseluruhan Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page