Kerajaan pertahan setiap inci tanah Sabah – PM

30 Julai 2024
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan Sabah serta tidak akan bertolak ansur berhubung tuntutan Filipina terhadap negeri itu.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga tidak akan terlibat dalam sebarang rundingan yang mempertikai hak Sabah.
"Kerajaan tidak akan bertolak ansur (walaupun) satu inci tanah rakyat kita dan tidak mungkin terlibat dalam apa-apa rundingan melibatkan hak dan kedaulatan negara," katanya.
Jelasnya, Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.
“Kerajaan Malaysia buat kenyataan tegas, tidak akan bertolak ansur satu inci tanah rakyat kita dan tidak mungkin kita terlibat dalam apa-apa perundingan melibatkan hak dan kedaulatan negara,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Bulan Keselamatan Negara 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Dalam kenyataan semalam, Wisma Putra memaklumkan, kerajaan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan Sabah sebagai sebahagian penting daripada Malaysia dan memastikan agar kedaulatan, keutuhan wilayah dan kepentingan negara sentiasa dilindungi pada setiap masa.
Pada 5 Julai lalu, Malaysia telah menyerahkan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bagi menyatakan bantahan sekali gus menolak tuntutan Filipina ke atas Sabah.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata, hubungan diplomatik yang sangat baik dan akrab di antara Malaysia dan Filipina perlu dimanfaatkan untuk keselamatan.
“Hubungan peribadi saya dengan Presiden (Filipina) Ferdinand Marcos Jr di tahap sangat rapat dan akrab. Oleh itu, jalur ini harus kita manfaatkan untuk keselamatan.
“Tapi dalam konteks ini, pasukan kita harus mengerti bahawa sejarah telah menunjukkan dan membuktikan bahawa pelakuan dan serangan seperti yang berlaku di Sabah beberapa tahun lalu berlaku dalam keadaan tidak diduga.
“Maka sebab itu kesedaran keselamatan harus diperluas… soal keselamatan bukan tanggungjawab pasukan keselamatan atau badan penguatkuasaan tetapi keselamatan negara tanggungjawab bersama,” katanya.
Comments