Kerajaan tiada konsistensi untuk kembalikan hak Sabah, Sarawak: MUDAKerajaan tiada konsistensi untuk kembalikan hak Sabah, Sarawak: MUDA
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kerajaan tiada konsistensi untuk kembalikan hak Sabah, Sarawak: MUDA


26 Okt 2021 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Sarawak menyifatkan tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan pindaan perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai tidak konsisten. Pro-tem Jawatankuasa Eksekutif Negeri (JKEN) MUDA Sarawak dalam satu kenyataan menzahirkan rasa kesal terhadap penangguhan tersebut yang sepatutnya bermula dengan bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada hari ini. "Sebelum ini, bacaan kedua ditangguhkan oleh kerajaan daripada dibentangkan, namun sekarang bacaan yang pertama juga akan ditangguhkan. Penangguhan ini adalah kerana tiada kata sepakat di antara ahli ahli kabinet. "Ahli-ahli kabinet yang memohon untuk klarifikasi dua hari sebelum tarikh di mana sepatutnya berlaku bacaan pertama amatlah tidak wajar. "Mereka sepatutnya telah mempunyai cukup masa untuk memohon klarifikasi sebelum ini kerana Menteri Undang-undang telah menyatakan hasrat untuk pindaan tersebut pada awal bulan ini lagi," kata parti itu dalam satu kenyataan, hari ini. MUDA Sarawak berkata ini menunjukkan tiada konsistensi dan juga kehendak yang mendalam daripada kerajaan sekarang untuk mengembalikan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termeterai di dalam MA63. Mereka juga menegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang Undang) untuk menyegerakan pindaan ini dengan memberikan sepenuh komitmen di dalam memastikan ia terlaksana dalam masa terdekat dan bukan hanya retorik semata-mata. "Kami akan sentiasa menyokong apa-apa usaha untuk mengembalikan tuntutan yang berkaitan dengan MA63. "Akan tetapi kami akan terus bersuara jika dilihat ada pihak yang sengaja melambatkan proses perubahan yang sekian lama ditunggu oleh rakyat Sarawak dan Sabah ini," tambah mereka.

bottom of page