Kerajaan tidak bercadang perkenalkan semula GST - PM
top of page
  • Farah Salim

Kerajaan tidak bercadang perkenalkan semula GST - PM


14 Februari 2023

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan tidak bercadang untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk menangani isu hutang negara.


Sebaliknya, katanya, kerajaan akan mengambil langkah lain dalam usaha mengurangkan perbelanjaan dalam menyelesaikan hutang negara yang kini telah mencecah RM1.5 trilion.


Tambah beliau, langkah tersebut termasuklah pengurangan subsidi bagi golongan kaya seperti yang dilakukan dalam isu subsidi elektrik agar golongan berpendapatan rendah tidak terbeban.


"Seperti yang saya jelaskan di Dewan ini dalam sesi lalu, walaupun ada keputusan kerajaan sebelum ini untuk menaikkan tarif elektrik, kerajaan sekarang sudah membatalkan rancangan itu.


“Kita hanya mengenakannya kepada T20 (berpendapatan tinggi), syarikat multinasional dan syarikat besar, melainkan syarikat yang terbabit dalam keselamatan makanan," katanya semasa menjawab soalan tambahan Wong Kah Who (PH-Taiping) di Dewan Rakyat, hari ini.


Dalam soalan tambahan tersebut, Wong Kah Woh (PH-Taiping) bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk memperkenalkan cukai baharu bagi menangani beban hutang yang dihadapi negara.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga mengambil langkah dengan memperbaiki jawatan kelola kerana antara perbelanjaan bilion ringgit yang hilang adalah disebabkan pengurusan yang lemah dan ketirisan.


"Disebabkan hutang negara lebih tinggi daripada pertumbuhan negara, langkah lain yang diambil adalah memastikan asas hasil ditambah dan mengkaji semula kaedah perbelanjaan awam tanpa membebankan rakyat terutamanya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keperluan asas,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page