Kes denggi naik 86.3 peratus, Kerajaan ambil tindakan komprehensif
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kes denggi naik 86.3 peratus, Kerajaan ambil tindakan komprehensif



15 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengambil tindakan komprehensif untuk menangani wabak denggi yang melanda negara, yang menyaksikan peningkatan kes sebanyak 86.3 peratus pada tahun 2023 berbanding tahun 2022.


Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, sebanyak 123,133 kes denggi dan 100 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan pada tahun 2023, berbanding 66,102 kes dan 56 kematian pada tempoh yang sama tahun 2022.


Beliau berkata demikian semasa membaca teks kenyataan media Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi, di Putrajaya hari ini.


Beliau berkata, tindakan Kerajaan melibatkan pelbagai kementerian dan agensi strategik, termasuk 14 kementerian, semua Pejabat Menteri Besar dan Ketua Menteri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).


“Meningkatkan keupayaan sumber melalui kolaborasi dengan agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan termasuk penubuhan Task Force bersama GLC.


“Mempertingkat keupayaan sumber melalui penyumberluaran dua aktiviti kawalan dan pencegahan denggi seperti semburan dan larvisiding.


“Memperkukuh kepimpinan setempat melalui penglibatan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dalam jawatankuasa kawalan dan pencegahan denggi peringkat negeri dan daerah,” katanya.


Beliau juga berkata, program pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia, yang telah menunjukkan keberkesanan dalam menurunkan kes denggi, akan diluaskan ke 10 lokaliti tambahan dengan kos operasi sebanyak RM4 juta setahun.


“Program pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia telah dilaksanakan di 32 lokaliti melibatkan tujuh negeri bermula tahun 2019. Dari ini sebanyak 19 lokaliti telah lengkap dua tahun enam minggu dan penilaian keberkesanan menunjukkan penurunan kes denggi 45 peratus hingga 100 peratus berbanding sebelum pelepasan,” jelasnya.


Tambah beliau, Jawatankuasa Kabinet juga mencadangkan penglibatan PBT dengan menjadikan pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia sebagai salah satu aktiviti rutin mereka.


Selain itu, beliau berkata, aktiviti gotong-royong akan terus diperbanyak untuk mengawal penularan wabak denggi ini.


“Aktiviti gotong-royong secara berjadual di premis seliaan kementerian, jabatan dan agensi dijadikan agenda tetap dalam Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Peringkat Daerah dan Negeri.


“Selain itu, kempen dan gotong royong secara besar-besaran melibatkan pelbagai agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, pemimpin setempat dan masyarakat akan dilaksanakan pada tahun 2024,” katanya.


Beliau berkata, satu kertas Memorandum Jemaah Menteri (MJM) akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu yang menggariskan langkah-langkah menangani denggi untuk persetujuan jemaah menteri.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page