Kesejahteraan guru akan terus diberi perhatian – Fadhlina
- nabalunews
- Dec 29, 2025
- 1 min read

29 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa usaha meningkatkan kesejahteraan guru akan terus diperkasakan, dengan komitmen untuk melaksanakan penambahbaikan yang lebih menyeluruh pada tahun depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, Reformasi Pendidikan yang sedang dilaksanakan memberi tumpuan khusus kepada usaha mengurangkan beban tugas guru.
Menurut beliau, selain memastikan kesejahteraan guru terpelihara, langkah berkenaan turut membantu golongan pendidik untuk lebih fokus kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
“Usaha ini kami mulakan pada tahun 2023 menerusi inisiatif Tujuh Langkah Menangani Beban Tugas Guru.
“Ia merangkumi antara lain pemansuhan acara tidak berimpak tinggi, waktu kunci masuk rekod kehadiran murid yang fleksibel dan menetapkan ringkasan bagi Rancangan Pengajaran Harian (RPH),” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Fadhlina berkata, dalam tempoh tiga tahun pelaksanaan Reformasi Pendidikan, KPM turut mengambil langkah besar dengan melantik hampir 53,000 guru baharu, selain 20,997 Sukarelawan Petugas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Tambah beliau, KPM juga melantik 600 Pembantu Warden Sepenuh Masa serta 548 Pembantu Guru dalam kalangan personel Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP) bagi membantu meringankan beban tugas guru.
“Terkini, KPM telah mengembalikan Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) kepada fungsi asal dan memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPLKPM).
“Kami tidak akan berhenti setakat ini sahaja. Aspek kesejahteraan guru akan terus diberi perhatian,” ujarnya.


















Comments