top of page

Kilauan Perak padam episod duka Ziyad

  • nabalunews
  • Sep 4, 2024
  • 2 min read

4 September 2024


PARIS: Kejayaan meraih pingat perak pada edisi kali ini telah memadam episod gelap menghantui jaguh olahraga para negara Muhammad Ziyad Zolkefli yang dibatalkan penyertaannya gara-gara lewat ke bilik panggilan pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 lalu.


Mengambil iktibar daripada insiden berkenaan, atlet berusia 34 tahun itu hadir 20 minit lebih awal ke bilik panggilan di Stade de France sebelum memulakan aksi acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) Sukan Paralimpik Paris 2024 awal pagi tadi.


Menurut Muhammad Ziyad, walaupun tidak berjaya merampas semula pingat emas namun beliau tetap berpuas hati dapat kembali menaiki podium selepas kali terakhir melakukannya di Rio 2016.


“Alhamdulillah, untuk sumbang perak ia lebih baik daripada tiada langsung. Bagi saya memang harapan tinggi untuk pingat emas namun saya tidak rasa kecewa sangat kerana sudah cuba beri terbaik tadi.


“Kisah yang menghantui saya (Tokyo 2020) akhirnya sudah habis. Lega rasanya kerana detik tersebut memang menghantui saya sejak tiga tahun lepas hingga saya tertekan dan kini saya dapat buktikan dengan pingat perak, macam mimpi pun ada,” katanya kepada Bernama di Paris.


Pada aksi akhir, Muhammad Ziyad meraih pingat perak dengan catatan 17.18 meter (m) di belakang wakil Ukraine Oleksandr Yarovyi yang mencatatkan rekod dunia baharu 17.61m untuk emas.


Rakan sepasukannya, Maksym Koval pula terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas melakukan lontaran sejauh 16.99m.


Untuk rekod, Ziyad yang berusia 34 tahun berjaya memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.


Selepas aksi hari ini, atlet kelahiran Selangor itu terus memasang azam untuk kembali beraksi pada edisi 2028 di Los Angeles dengan menyasarkan membawa pulang pingat emas buat Malaysia.


“Saya tidak pernah terfikir untuk pencen lagi. Mungkin saya akan beraksi lagi untuk Sukan Paralimpik seterusnya dan bergantung pada keadaan badan saya ketika itu untuk cuba buat terbaik.


“Selepas ini, saya akan berehat sebentar dan meluangkan masa bersama keluarga,” katanya.


Pada masa sama Muhammad Ziyad mendedikasikan pingat perak dimenanginya buat bapanya Zolkefli Othman yang menyambut hari lahir ke-70 pada 1 September lepas.


Pingat perak yang dimenangi Ziyad adalah pingat yang ketiga buat kontinjen Malaysia di Paris selepas jaguh badminton, Cheah Liek Hou menyumbang emas dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal) dan atlet olahraga, Eddy Bernard merangkul gangsa acara 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal).


Sementara itu, seorang lagi atlet negara, Muhammad Nazmi Nasri yang bersaing dalam acara lompat jauh lelaki T37 (kecacatan fizikal) menamatkan aksi final di tempat kelima dengan catatan 6m.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page