KKDW Diminta Selesaikan Isu Bekalan Air, Jalan Raya dan Jambatan Luar Bandar
- nabalunews
- 6 hours ago
- 2 min read

14 Oktober 2025
KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diminta memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah bekalan air terawat, jalan raya dan jambatan luar bandar yang masih membelenggu rakyat di kawasan Parlimen Tuaran.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata, hampir setiap kampung dan pekan di kawasan itu berdepan masalah bekalan air terawat, manakala banyak jalan luar bandar masih tidak berturap dan sukar dilalui.
“Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamparuli sahaja, kita memerlukan naik taraf loji dan pemasangan paip baharu di empat lokasi iaitu Penimbawan, Lok Nunuk, Sambah dan Baru-Baru bagi menstabilkan bekalan air terawat,” katanya.
Beliau berkata, cadangan projek Loji Air Terawat Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Penimbawan-Lok Nunuk-Sambah-Baru-Baru dengan kapasiti 4 juta liter sehari (MLD) telah dipersetujui oleh KKDW, namun kapasiti tersebut perlu ditingkatkan bagi menampung permintaan di kawasan sekitar.
“Reserve margin bekalan air di sekitar Topokon–Tenghilan kini berada pada paras negatif 12 MLD. Saya memohon agar KKDW mempertimbangkan pembinaan loji dengan kapasiti 16 MLD supaya bekalan air terawat dapat menyelesaikan masalah di kawasan sekitar Tenghilan juga, dan bukan hanya tertumpu di Penimbawan–Baru-Baru–Sambah semata-mata,” katanya.
Madius turut menarik perhatian terhadap pembatalan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Terawat Kapa–Sinalapak akibat bantahan penduduk setempat di Kadamaian.
“Projek ini sepatutnya membekalkan air terawat kepada lebih 10 buah kampung dan 10 sekolah rendah di kawasan berkenaan. Oleh itu, saya berharap keperluan ini dapat dimasukkan dalam Rancangan Naik Taraf Loji Rawatan Air Terawat Bayayat di Kadamaian berkapasiti 34 MLD,” jelasnya.
Selain isu air, Madius turut menegaskan bahawa kawasan Parlimen Tuaran masih mempunyai 44 batang jalan luar bandar dengan panjang keseluruhan 165 kilometer yang perlu dinaik taraf kepada jalan berturap.
“Dengan anggaran kos RM2 juta bagi setiap kilometer, kawasan ini masih memerlukan sekurang-kurangnya RM330 juta untuk kerja-kerja naik taraf tersebut. Keperluan ini amat mendesak kerana keadaan jalan yang berlubang-lubang dan sukar dilalui menjejaskan pergerakan rakyat serta aktiviti ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2026 di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Comments