top of page

KKM bakal keluarkan arahan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19

Wartawan Nabalu News


14 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan akan mengeluarkan arahan pelaksanaan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19, sebagai respons terhadap peningkatan kes baru yang dilaporkan di seluruh negara baru-baru ini.

 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyatakan bahawa langkah ini akan melibatkan golongan yang lebih rentan seperti pesakit kronik dan warga emas yang berisiko tinggi terhadap jangkitan.

 

"Mungkin sedikit waktu lagi KKM akan keluarkan arahan," ujar beliau selepas Perhimpunan Bulanan Bersama Warga KKM pada hari Khamis.

 

Dr Dzulkefly menegaskan bahawa bekalan vaksin yang ada saat ini adalah mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat dalam usaha kerajaan memerangi penyebaran Covid-19.

 

"Andai kita laksanakan, masih ada bekalan yang belum mencapai tarikh luput dan ia mampu melindungi daripada pelbagai strain Covid-19," tambahnya.

 

KKM sebelumnya telah melaporkan pada hari Rabu bahwa jumlah jangkitan Covid-19 pada Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) telah meningkat dua kali ganda berbanding minggu sebelumnya, dengan 12,757 kes baru berbanding 2,796 kes pada ME 48.

 

Dr Dzulkefly juga menyatakan bahawa Kabinet telah dimaklumkan tentang situasi terkini jangkitan Covid-19 dalam mesyuarat pada hari Rabu.

 

"Kementerian sedar mengenai peningkatan sehingga lebih 12,000 kes mutakhir ini dan wajar untuk kita beri perhatian," katanya.

 

Jelas beliau, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada peningkatan tersebut, termasuk cuaca, pergerakan orang ramai, dan kurangnya pemakaian pelitup muka, terutama pada musim cuti sekolah di penghujung tahun.

 

Ditanya tentang kemungkinan pelaksanaan saringan yang lebih ketat di pintu masuk negara, Menteri Kesihatan menyatakan bahawa hal tersebut akan dipertimbangkan.

 

"KKM mempunyai pelan tindakan. Sekiranya kriteria dipenuhi, kita akan mengaktifkan segera langkah intervasi dan mitigasi yang lebih sesuai. Kita tidak mahu terlalu alami tetapi juga tidak mengambil mudah," pungkasnya.

Komentar


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page