KKM tarik balik enam produk kosmetik mengandungi bahan beracun
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KKM tarik balik enam produk kosmetik mengandungi bahan beracun


22 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Produk kosmetik enam jenama ditarik balik oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kerana mengandungi bahan kimia berbahaya.


Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, produk-produk itu ialah Flashhskinzz Moist Sunscreen, Serene Treatment Cream, Tempias Hawa Master Recovery Skin Rskin dan Karisma Preventing Day Cream yang semuanya mengandungi merkuri.


Dua produk lain yang terbabit ialah SL Two Kunyit dan SL Two Sarang Burung yang mengandungi merkuri serta Betamethasone 17- Valerate, Hydroquinone dan Tretinoin.


Beliau berkata penggunaan produk kosmetik yang mengandungi merkuri boleh menjejaskan buah pinggang, sistem saraf dan perkembangan otak kanak-kanak atau janin.


Beliau juga berkata produk yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17- valerate adalah ubat yang perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat doktor atau pakar kesihatan.


“Penggunaan produk ini tanpa pengawasan doktor atau pakar kesihatan boleh menyebabkan kulit menjadi kemerahan, pedih, mengelupas, berjerawat, berubah warna dan nipis. Ia juga boleh menyerap ke dalam darah dan membawa kesan negatif kepada kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan.


Dr Noor Hisham menegaskan penjual dan pengedar produk-produk ini perlu berhenti menjual dan mengedarkannya segera kerana melanggar undang-undang.


Beliau berkata individu yang didapati bersalah boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya. Syarikat yang didapati bersalah pula boleh didenda sehingga RM100,000.


Beliau menasihatkan orang ramai yang menggunakan produk-produk ini agar berhenti sekarang dan mendapatkan nasihat doktor atau pakar kesihatan jika mengalami masalah kulit atau kesihatan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page