top of page
  • Wartawan Nabalu News

KKM: Tiada kenaikan fi perkhidmatan kesihatan tanpa kajian dan konsultasi


16 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa tiada kenaikan fi perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan akan dilaksanakan dengan segera tanpa kajian mendalam dan konsultasi dengan pihak berkepentingan.


Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata sebarang perubahan struktur fi akan melibatkan analisa wajar dan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk golongan tidak berkemampuan dan golongan rentan.


Beliau berkata ini bagi memastikan akses perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan komprehensif tidak terjejas oleh kenaikan fi.


"Paling penting adalah memastikan rakyat terutamanya golongan tidak berkemampuan dan golongan rentan tidak akan terkesan, serta akses perkhidmatan kesihatan mereka akan terus dinikmati," katanya ketika sesi penggulungan Kertas Putih Kesihatan di Dewan Rakyat pada Khamis.


Beliau berkata, pada masa ini, kadar fi yang dikenakan di sektor awam adalah sangat minima kerana kerajaan memberikan banyak subsidi.


"Kadar bayaran yang dikenakan adalah sama untuk semua pesakit tanpa mengira kesanggupan mereka untuk membayar. Malahan KKM juga tidak ada mekanisme untuk mengumpul lebihan fi walaupun ada pesakit yang sanggup dan mahu membayar lebih kerana mereka akan menghargai perkhidmatan komprehensif yang diterima," jelas beliau.


Dalam pada itu, Kertas Putih Kesihatan yang menggariskan strategi reformasi kesihatan negara untuk 15 tahun akan datang itu, telah diluluskan oleh Dewan Rakyat selepas dibahaskan oleh 28 Ahli Parlimen selama hampir empat jam.


Sebelum itu, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, antara lain meminta agar kerajaan tidak tergesa-gesa menaikkan bayaran perkhidmatan kesihatan di hospital dan klinik kerajaan kerana ia akan menambahkan lagi beban rakyat yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup.


Bekas Perdana Menteri itu turut mencadangkan agar kerajaan mengecualikan golongan berpendapatan rendah (B40) daripada dikenakan caj perkhidmatan kesihatan.

bottom of page