Koperasi perlu beralih kepada pendigitalan agar kekal releven: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Koperasi perlu beralih kepada pendigitalan agar kekal releven: Ewon




6 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu New


KAPIT: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, koperasi harus mengaplaikasikan teknologi ditigal dalam perniagaan agar kekal berdaya saing dan relevan.


Sehubungan itu, katanya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melancarkan Pelan Tindakan Pendigitalan Koperasi bagi mengukuhkan keupayaan pendigitalan koperasi.


“Kita yakin peralihan daripada perniagaan konvensional kepada penyesuaian dan pendigitalan teknologi, pemasaran melalui platform digital dan pembayaran dalam talian sangat penting dalam perniagaan baharu.


“Melalui pendigitalan, saya berharap produk-produk keluaran Sarawak khasnya di bahagian Kapit mampu dikembangkan lagi kebolehpasarannya dan menembusi pasaran global,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bicara Ilmu “Menerokai Keindahan Berkoperasi: Apa Manfaatnya”, anjuran Zon Sarawak Institut Koperasi Malaysia (IKMa), di Rumah Benggau Andah, Nanga Sut, Baleh Kapit Sarawak, kelmarin.


Mengenai program itu, Ewon berharap, ia dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan berkoperasi.


“Sesi pada hari ini merupakan wadah menimba ilmu, mengumpul idea dan maklumat, serta membina jaringan korporat dan perniagaan antara koperasi, agensi dan peserta.


“Tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan program ini dan diharapkan usaha ini akan diteruskan ke arah memartabatkan potensi koperasi di bumi Kenyalang,” katanya.


Beliau berkata, sektor koperasi telah menyumbang secara signifikan kepada prestasi ekonomi sepanjang tahun 2022 dan 2023.


Katanya, pada 2022, sektor koperasi di Malaysia menyumbang sebanyak RM46.5 bilion kepada KDNK negara.



“Usaha koperasi mempelbagaikan aktiviti perniagaan terutamanya dalam sektor kewangan, perladangan, pertanian, hartanah, perkhidmatan dan pengguna membolehkan koperasi terus menyumbang dalam pelbagai aspek ekonomi.


“Dengan jumlah keahlian melebihi 7 juta ahli dan bilangan koperasi berdaftar melebihi 15,000 buah di seluruh negara sehingga 31 Disember 2022, koperasi perlu memanfaatkan kekuatan yang ada dan terlibat secara aktif dalam proses pemulihan ekonomi negara,” katanya.


Ewon berkata, kepelbagaian aktiviti perniagaan koperasi juga menjadi agen penjanaan pendapatan dan penciptaan pekerjaan.



“Saya dimaklumkan di Bahagian Kapit ini kaya dengan hasil tani dan buah buahan tempatan seperti durian, dabai dan terung asam selain daripada produk kraftangan dan hasil seni tangan.


“Produk-produk ini mempunyai permintaan yang tinggi jika dipasarkan dengan sebaiknya. Oleh itu penggunaan media sosial perlu diperhebatkan lagi bagi tujuan promosi dan pemasaran,” katanya.


IKMa satu-satunya agensi di bawah KUSKOP yang bertanggungjawab dalam pendidikan dan latihan koperasi sentiasa merancang dan memperkasakan pendidikan koperasi mengikut keperluan dan keadaan semasa.



Selain menjalankan kursus, IKMa juga menjalankan penyelidikan, program khidmat nasihat dan bimbingan kepada koperasi.


Pada majlis itu Ewon turut bersetuju menyalurkan Bantuan Geran RM20,000 kepada Koperasi Desa Lestari Sungai Sut Berhad dan peruntukan RM26,000 kepada JKKK Nanga Sut Benggau Andah, bagi kemudahan rumah panjang Rumah Panjang Benggau Andah.


Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus Wilson Nyabong Ijang dan Pegawai Daerah Kapit Cerisologo Sabut, Pengerusi Lembaga Pengarah IKMa Haji Mohd Yahya Haji Mat Sahri, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar dan ketua-ketua agensi KUSKOP Sibu.



bottom of page