KUASA, PANGKAT DIKEJAR BUKAN KUNCI KEJAYAAN NEGARAKUASA, PANGKAT DIKEJAR BUKAN KUNCI KEJAYAAN NEGARA
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUASA, PANGKAT DIKEJAR BUKAN KUNCI KEJAYAAN NEGARA



Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal (kanan) dan Syed Saddiq.

23 Feb 2021


KOTA KINABALU: Kuasa dan pangkat yang dikejar bukan kunci kepada kejayaan sebuah negara, sebaliknya perlu ada iltizam politik dan kesungguhan menjaga rakyat.


Dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang dikeluarkan hari ini, mereka berhujah bahawa tiada pencapaian yang boleh dibanggakan kerajaan ketika ini selepas setahun Peristiwa Sherton.


Menurut kenyataan itu, sebuah kerajaan yang telus, bersih dan adil adalah kerajaan yang mengunakan ruang dan peluang untuk mentadbir dengan baik untuk rakyat.



“Biarpun kuasa sudah bertukar tangan, ia tidak menjadi alasan kepada kami untuk tidak berbuat apa-apa dan menunding jari seperti yang dibuat kerajaan hari ini.


“Langkah Sheraton tidak akan sesekali memadamkan ikhtiar dan usaha yang kami bina untuk sebuah negara yang sejahtera,” menurut kenyataan itu.


Shafie dan Syed Saddiq dalam kenyataan itu berkata, rakyat adalah tuan dan ahli politik harus ingat bahawa mereka hanya wakil yang harus menurut kehendak dan kemahuan rakyat.


“Kini genap setahun peristiwa Langkah Sheraton yang menyaksikan Kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) dijatuhkan melalui pintu belakang dengan menggunakan alasan paling tidak munasabah - mahu mewujudkan sebuah pemerintahan yang didominasi oleh ‘Melayu-Islam’ pimpinan parti Bersatu, UMNO dan PAS yang dijenamakan sebagai Perikatan Nasional.



“Rakyat dimomokkan dengan kisah dongeng bagaimana sebuah Kerajaan ‘Melayu-Islam’ tanpa DAP perlu segera dibentuk demi kebaikan rakyat terutama sekali kepada orang Melayu dan umat Islam khususnya.


“Malangnya selepas setahun berlalu, tidak ada agenda, misi dan pencapaian yang boleh dibanggakan dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia merentas negeri, agama dan bangsa dari pemerintahan kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini,” katanya.


Menurut kenyataan itu, pemerintahan kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini menyaksikan jumlah pengangguran rakyat terus meningkat kepada 772,900 orang pada kadar 4.8 peratus pada Disember 2020 dan tidak ada rancangan pemulihan ekonomi yang berjaya dibuat sehingga hari ini.


“Pemerintahan kerajaan ‘Melayu-Islam’ juga mengabaikan janji pemberian komputer riba kepada 150,000 murid berjumlah RM150 juta seperti yang dihebahkan semasa pembentangan Belanjawan 2021 sehingga hari ini.


“Kegagalan menunaikan janji ini memaksa ibu-bapa daripada golongan B40 terpaksa mencari alternatif lain mendapatkan peranti bagi keperluan pembelajaran anak-anak mereka termasuk mendapatkannya daripada Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang.



“Kerajaan ‘Melayu-Islam’ juga sering mencanangkan bahawa mereka serius dalam melawan Covid-19 tetapi peruntukan kepada kawasan Parlimen Pembangkang pula dipotong seolah-olah mahu menyukarkan misi setiap Parlimen Pembangkang membantu rakyat yang susah, lapar dan sakit.

“Akhirnya, rakyat pula yang menjadi mangsa hukuman politik kerajaan ‘Melayu Islam’ PN,” menurut kenyataan itu.


Mereka turut bertanya kepada kerajaan ‘Melayu-Islam’ apabila lebih 30,000 syarikat di negara ini telah menutup operasi mereka sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula pada Mac tahun lalu.


“Malah lebih 9,000 daripada jumlah tersebut merupakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Penutupan beberapa buah kilang industri yang berpindah ke negara jiran hanya mengesahkan bahawa kerjasama Bersatu, UMNO dan PAS dalam Kerajaan PN tidak lebih dari sekadar kosmetik dan jenama sahaja yang akhirnya tidak memberi apa-apa makna kepada rakyat.



“Ketiga-tiga parti Bersatu, UMNO dan PAS yang membentuk Kerajaan PN sepatutnya mampu menarik lebih banyak pelaburan baharu daripada luar kerana gabungan yang dibentuk atas nama bangsa dan agama ini kerap kali mendakwa mereka adalah sebuah Kerajaan yang stabil dan mempunyai keabsahan.

“Kestabilan tersebut seharusnya diterjemahkan dalam bentuk hasil pelaburan dan kegiatan ekonomi yang memberi keuntungan kepada rakyat. Malangnya ia tidak berlaku sehingga hari ini,” kata kenyataan itu.


Sebaliknya, katanya, Kerajaan ‘Melayu-Islam’ ini terlalu sibuk menyoal kesetiaan yang diikrarkan, sentiasa menyuarakan rasa sangsi dan tidak lagi mempercayai antara satu sama lain.


“Selepas beberapa siri pertukaran kepimpinan kerajaan negeri melalui undi di dalam Dewan Negeri, lompat parti dan pilihanraya negeri dalam tempoh PKP, ikatan ketiga-tiga parti tersebut hanya menunggu masa untuk terlerai.


“Kerajaan yang dibina atas nama pengkhianatan akan runtuh melalui pengkhianatan juga,” menurut kenyataan itu.



bottom of page