Kuskop akan kemuka 35 inisiatif baharu dalam kajian separuh penggal RMK12
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kuskop akan kemuka 35 inisiatif baharu dalam kajian separuh penggal RMK12


10 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA TERENGGANU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) akan mengemukakan 35 inisiatif baharu yang merangkumi pelbagai aspek pembangunan koperasi dan usahawan Perindustrian Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam pembentangan dan perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 11 September depan.


Menteri Kuskop, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif-inisiatif tersebut adalah berdasarkan cadangan dan permintaan daripada gerakan koperasi dan usahawan PMKS yang telah diperoleh melalui hasil perjumpaan dan kunjungan beliau di seluruh negara.


Beliau berkata, kementerian akan memperincikan dan teliti semua cadangan itu dalam satu mesyuarat jawatankuasa khas melihatkan Kuskop, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sebelum dimuktamadkan.

“Saya sebagai menteri, mahu pertahan semua cadangan yang telah dikemukakan ini untuk dilaksanakan dalam penggal RMK12 yang seterusnya.


“Kita juga akan adakan libat urus antara semua kementerian yang terlibat dalam penyediaan Belanjawan Madani 2024 dan di situlah saya akan kemukakan cadangan implikasi peruntukan kepada 35 inisiatif tadi, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ar-Rahnu Koguru, Inap Desa dan Room Stay Koperasi Warga Pendidikan Negeri Terengganu di Tok Molor hari ini.


Jelas Ewon, ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk merealisasikan visi menjadikan gerakan koperasi sebagai platform untuk menoktahkan kemiskinan di negara ini.


Beliau juga berkata bahawa kementerian sangat komited untuk memperkasakan gerakan koperasi dengan memberikan sokongan dan bantuan kepada golongan belia, wanita, masyarakat luar bandar, golongan kategori B40 dan penerima e-Kasih


"Di Sabah contohnya, kita ada satu jawatankuasa khas yang mengurus program pembasmian kemiskinan yang akan membantu penduduk untuk menguruskan koperasi yang akan meningkatkan taraf hidup mereka.


“Selain itu, kita juga dengar cadangan daripada komuniti Orang Asli, Felda dan penduduk Sabah Sarawak untuk memenuhi keperluan mereka dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi melalui koperasi," katanya.




bottom of page