KUSKOP jamin bantu PKS kembangkan perniagaan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP jamin bantu PKS kembangkan perniagaan


5 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Pemain industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapat jaminan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk mendapatkan bantuan dalam mengembangkan perniagaan mereka, termasuk dari aspek pembiayaan kewangan.


Timbalan Menteri KUSKOP, Datuk R. Ramanan, berkata KUSKOP juga telah mengenal pasti isu-isu penting yang dihadapi PKS dan akan memberi perhatian kepada perkara-perkara tersebut.


"Saya sudah dengar dengan mendalam, antara masalah dihadapi semua PKS adalah bagaimana mereka boleh membangunkan (kembangkan) perniagaan mereka, dalam aspek untuk dapatkan bantuan (kewangan), infrastruktur dan jalinan hubungan," katanya pada sidang media.


Beliau berkata ini selepas merasmikan Kongres PKS Keempat yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (MIMCOIN) di sini, pada Sabtu.


Beliau percaya Kerajaan MADANI menerusi pelbagai agensi seperti SME Corp, Bank Rakyat dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berupaya membantu PKS dari aspek pembiayaan kewangan, bimbingan keusahawanan, geran sepadan dan jalinan hubungan.


R, Ramanan juga berharap MIMCOIN boleh menjadi badan penghubung antara kementeriannya dan pemain-pemain PKS dalam mengatasi apa juga permasalahan yang dihadapi.


"MIMCOIN sekarang mempunyai lebih 1,000 SME di bawahnya, jadi jika boleh, MIMCOIN ini menjadi jurucakap kepada mereka (usahawan PKS) untuk membawa isu-isu yang dihadapi ke KUSKOP dan agensi-agensi berkaitan," katanya.


Tamabah beliau, Kongres PKS itu adalah platform terbaik dalam berkongsi ilmu berhubung keusahawanan, motivasi dan meningkatkan rangkaian hubungan antara pemain industri PKS.


Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi The Economic Club of Kuala Lumpur (ECKL), Datuk Seri Mohd Iqbal Rawther; Presiden MIMCOIN, Datuk Jamarulkan M.S Kadir dan Pengerusi Penganjur Kongres PKS Keempat, Datuk Abdul Hamid P.V Abdu.

bottom of page