KUSKOP komited sedia hala tuju strategi pulih semula ekonomi dalam sektor koperasi, usahawan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP komited sedia hala tuju strategi pulih semula ekonomi dalam sektor koperasi, usahawan




5 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


IPOH: Kementerian Pembangunan Usahwan dan Koperasi (KUSKOP) komited menyediakan hala tuju strategik dan dinamik untuk memulihkan semula ekonomi, termasuk dalam sektor koperasi dan usahawan.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, ini adalah masa yang sesuai untuk melaksanakan langkah transformasi memperkasa Gerakan Koperasi di Malaysia, sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi Malaysia yang seimbang, inklusif, progresif dan mampan.


Beliau berkata, ini sejajar dengan ulang tahun ke-100 sektor koperasi pada tahun lalu.



“Dengan jumlah keanggotaan Gerakan Koperasi di Malaysia yang dicatatkan melebihi 7.039 juta anggota, mampu mewujudkan satu rangkaian perniagaan yang kukuh dan mampan.


“Ini diperkukuhkan lagi dengan kedudukan aset secara keseluruhan Gerakan Koperasi sehingga Jun 2022 sebanyak RM156.18 bilion dan modal syer RM16.52 bilion,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sesi Sembang Santai Bersama Masyarakat Orang Asli Perak, di Pusat Kecemerlangan Orang Asli Perak, di Kampung Kerawat, Simpang Pulai, di sini, kelmarin.


Ewon berkata, Perak mencatatkan sebanyak 27 koperasi Orang Asli yang berdaftar dengan jumlah keanggotaan seramai 2,162 orang, jumlah kutipan modal syer terkumpul sebanyak RM352 ribu, aset RM1.32 juta dan perolehan sehingga Jun 2022 dicatatkan sebanyak RM1.29 juta.



Beliau berkata, ini menunjukkan sosio ekonomi komuniti Orang Asli di Perak berjaya ditingkatkan melalui platform koperasi.


“Saya yakin koperasi adalah satu pendekatan yang efektif bagi merangsang pembangunan keusahawanan terutama bagi komuniti Orang Asli,” katanya.


Ewon berharap, gerakan koperasi di Malaysia terus diperkasa dan bergerak seiring dengan agenda transformasi pembangunan ekonomi negara.


“Saya yakin dan percaya Gerakan Koperasi di Malaysia akan terus menjadi tonggak penting bagi memakmurkan ekonomi negara dan memperkukuhkan kesejahteraan rakyat,” katanya.



Katanya lagi, insentif-insentif yang disediakan oleh SKM kepada Gerakan Koperasi adalah dalam bentuk Geran Bantuan Pembangunan dan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM).


“Pada tahun lalu sebanyak RM 30.21 juta telah diluluskan kepada 620 buah koperasi melibatkan 13 program pembangunan manakala untuk Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) sebanyak 323.6 juta telah diberikan kepada Gerakan Koperais di seluruh negara.


“Perak merupakan negeri yang paling agresif dalam membantu gerakan koperasi mendapatkan akses pembiayaan bagi meningkatkan prestasi perniagaan.



“Saya dimaklumkan bahawa, pada tahun 2022 sahaja, Suruhanjaya Koperasi Malaysia negeri Perak telah membantu gerakan koperasi Perak dengan penyaluran sebanyak RM22.7 juta bagi pembiayaan TMP-SKM dan RM2.091 juta bagi geran bantuan pembangunan menjadikan jumlah geran dan pembiayaan yang diluluskan pada tahun 2022 sebanyak RM24.85 juta,” katanya.


Ewon turut mengucapkan tahniah kepada Koperasi Orang Asli Perak kerana berjaya mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-10.


“Usahasama Koperasi Orang Asli Perak dengan Persatuan Orang Asli Perak dalam membangunkan kompleks Pusat Kecemerlangan Pendidikan Orang Asli ini sebagai kemudahan asas pusat perkumpulan masyarakat Orang Asli di Perak patut dipuji demi pembangunan dan kemudahan masyarakat itu khasnya dan seluruh negeri ini,” katanya.





bottom of page