top of page
Wartawan Nabalu News

KUSKOP luluskan RM14.1 juta pembiayaan dan Geran Pembangunan koperasi di Kelantan, sehingga Julai 2024: Ewon

29 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BHARU: Kerajaan Madani menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meluluskan pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) dan Geran Pembangunan berjumlah RM14.1 juta kepada koperasi di Kelantan sehingga bulan ini.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata kelulusan dan penyaluran dana ini menunjukkan Kerajaan Persekutuan sentiasa cakna berhubung pembangunan koperasi di Kelantan.


“KUSKOP menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tidak pernah ketinggalan dalam membantu gerakan koperasi di negeri Kelantan untuk terus maju serta setanding dengan koperasi di negeri lain.


“Di samping itu, Program Pembangunan Perniagaan Melalui Koperasi 2.0 (Bantuan Pembangunan) juga disediakan kepada koperasi yang aktif menjalankan aktiviti ekonomi yang berdaya maju dan konsisten.


“Selain itu, peruntukan sebanyak RM2 juta juga disediakan di bawah program Bantuan Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) bagi membantu rantaian bekalan perniagaan masing-masing,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Koperasi Negara (HKN) 2024, peringkat negeri Kelantan, di Renai Hotel, di sini, hari ini.


Ewon berkata, kerajaan juga mengambil langkah awal untuk membantu koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan, mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka supaya mendapat pasaran yang lebih luas sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.


“Oleh itu, mulai tahun ini, KUSKOP telah memperuntukkan sebanyak RM2 juta di bawah Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) bagi koperasi yang terlibat dalam sektor pelancongan untuk meningkatkan lagi daya pasaran produk pelancongan, seperti hotel, inap desa, pusat peranginan, chalet, perkhidmatan pengangkutan pelancong, hasil kraftangan dan sebagainya,” katanya.


Beliau berkata, bagi negeri Kelantan sebanyak 16 buah koperasi terpilih menyertai program ini.


“Saya berharap agar dana ini digunakan dengan sebaik mungkin bagi mempromosikan sektor pelancongan di negeri Kelantan,” katanya.


Mengenai statistik koperasi di Kelantan, Ewon berkata, sehingga Jun 2024, sebanyak 969 buah koperasi telah didaftarkan di negeri ini.


“Jumlah perolehan yang berjaya dicapai sehingga 31 Disember 2023 berjumlah RM560 juta dengan nilai aset melebihi RM2.4 bilion dan keanggotaan seramai 314,761 orang,” katanya.


Mengenai sambutan Hari Koperasi Negara peringkat negeri, beliau berharap program ini menjadi medium untuk mempromosikan aktiviti pelancongan di semua negeri termasuk Kelantan sebagai destinasi tarikan pelancongan melalui gerakan koperasi.


“Sambutan ini bertujuan mengiktiraf dan meraikan sumbangan sektor koperasi kepada ekonomi negeri dan negara, selain mempromosikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh koperasi,” katanya.

Comentarios


bottom of page