Kuskop sasar latih seramai mungkin pengusaha PMKS adaptasi pendigitalan
top of page
  • nabalunews

Kuskop sasar latih seramai mungkin pengusaha PMKS adaptasi pendigitalan



19 Oktober 2023


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berharap dapat melatih seramai mungkin pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ke arah pendigitalan pada tahun depan, bagi memastikan mereka mampu memaksimumkan potensi perniagaan masing-masing.


Menteri berkenaan Datuk Ewon Benedick berkata latihan pendigitalan perniagaan itu akan dilakukan menerusi beberapa agensinya termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp), yang turut menyediakan pembiayaan kepada PMKS terlibat.


“Memang komponen pendigitalan itu antara fokus kementerian, dengan sejumlah peruntukan turut disalurkan kepada Kuskop untuk latih pengusaha ini memasukkan elemen pendigitalan, contohnya dalam pemasaran dan pentadbiran perniagaan yang mengguna pakai sistem kewangan atau perakaunan yang baik.


“Itu adalah sebahagian daripada kursus (latihan) yang akan kita laksanakan,” katanya kepada pemberita selepas program Jendala Fikir bertajuk Belanjawan 2024: Kuskop Merealisasikan Ekonomi MADANI, terbitan Bernama Radio hari ini.


Beliau berkata pembudayaan dan pengoperasian digital sangat mustahak pada hari ini terutama selepas negara melalui pengalaman pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mendesak rakyat beralih kepada perusahaan digital termasuk apabila menawarkan perkhidmatan.


“Cuma cabaran sekarang ialah untuk melatih peniaga PMKS yang telah sekian lama menjalankan perniagaan secara konvensional. Bagaimanapun, kita sudah ada modul latihan berkaitan yang bersifat jangka pendek dan panjang contohnya ‘Bumiputera Business Coaching’ yang dikendalikan Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) dalam tempoh setahun,” katanya.


Ewon berkata selepas dilatih, pengusaha PMKS ini akan dipantau oleh INSKEN dari aspek pengoperasian dan jualan bagi memastikan mereka benar-benar dapat mengadaptasikan pendigitalan dalam perniagaan.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sejumlah RM100 juta akan diperuntukkan bagi menyediakan geran pendigitalan sehingga RM5,000 yang bakal memanfaatkan lebih 20,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pengusaha mikro.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata geran tersebut boleh digunakan untuk menaik taraf sistem jualan, inventori dan perakaunan digital.


Selain itu, sejumlah RM900 juta dana pinjaman di bawah Bank Negara Malaysia juga disediakan untuk menggalakkan syarikat PKS meningkatkan produktiviti perniagaan melalui automasi dan pendigitalan. - Bernama

bottom of page