KUSKOP tetapkan enam KPI untuk dicapai tahun ini: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP tetapkan enam KPI untuk dicapai tahun ini: Ewon

23 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menetapkan enam petunjuk prestasi utama (KPI) untuk dicapai tahun ini.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kementerian juga menasasarkan setiap individu yang dilatih akan menjadi usahawan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan keusahawanan di Malaysia.


“Fokus strategik akan diberikan dari aspek peningkatan skala perniagaan dan daya saing usahawan dan koperasi bagi mencapai sasaran yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Dasar Koperasi Negara (DKN 2030).


"Sehubungan itu, pada hari ini, kita akan melancarkan dokumen Perancangan Strategik KUSKOP Tahun 2024 dengan tema “Usahawan MADANI, Memacu Ekonomi”,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Amanat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) 2024, di Dewan Menara Bank Rakyat, di sini, hari ini.


Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Haji Zamri Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan pemantauan) KUSKOP Noor Afifah Abdul Razak dan ketua-ketua agensi kementerian.


Ewon berkata, Perancangan Strategik itu mensasarkan tiga objektif utama iaitu menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menyokong pemecutan pertumbuhan dan kestabilan sektor keusahawanan negara, mempertingkatkan skala dan daya saing usahawan dan koperasi serta memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan keusahawanan supaya lebih fasilitatif dan efektif.


“Bagi merealisasi objektif yang disasarkan, 5 teras strategik, 22 strategi dan 205 program telah dirangka merangkumi aspek penggubalan dasar, tadbir urus dan kawal selia, pembangunan kapasiti, akses pembiayaan, akses pasaran, adaptasi teknologi dan pengukuhan penyampaian perkhidmatan.


“Pelaksanaan kesemua program dan projek yang dirancang akan memanfaatkan 630,661 individu usahawan dan bakal usahawan,” katanya.


Ewon berkata, tahun 2024 sangat kritikal memandangkan kurang dua tahun sahaja untuk mencapai sasaran nasional yang ditetapkan pada tahun 2025.


“Justeru, kita perlu kekal fokus dan lebih responsif dalam usaha membantu para usahawan dan koperasi meningkatkan prestasi perniagaan mereka.


“Inisiatif dan intervensi bersasar diperlukan bagi mendorong pemecutan pertumbuhan perniagaan mereka demi kestabilan sektor keusahawanan, sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) bagi menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul,” katanya.

bottom of page