KUSKOP turun padang bantu usahawan Permatang Pauh
top of page
  • Wartawan Nabalu News

KUSKOP turun padang bantu usahawan Permatang Pauh

Ewon (dua dari kiri), bergambar bersama usahawan.

19 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick turun padang menemui, mendengar keluhan dan seterusnya membantu usahawan di Permatang Pauh sempena lawatan kerja beliau di Kedah.


Beliau menemui para usahawan tempatan yang berniaga di perkarangan Monologue Square yang kebanyakannya menerima pembiayaan daripada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahwan dan Koperasi (Kuskop) iaitu Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).


Beliau berkata, kementeriannya merancang dan melaksanakan lebih banyak program membantu penjaja dan peniaga kecil mengembangkan perniagaan, antara melalui Pelan Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil (P3PK) 2023-2027.

“Pelan Pembangunan ini adalah satu dokumen perancangan strategik kementerian bagi memperkasa pembangunan serta menambahbaik tahap sosioekonomi komuniti penjaja dan peniaga kecil.

“Saya percaya pelan ini mampu menyokong pertumbuhan serta pembangunan penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara khususnya untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya selepas program turun padang di Permatang Pauh, di sini, pada Ahad.


Turut serta dalam lawatan itu wakil daripada agensi-agensi kementerian iaitu Bank Rakyat dan Tekun Nasional.


Ewon berkata, selain itu kementeriannya juga terus berusaha melaksanakan inisiatif berimpak tinggi dalam membantu komuniti penjaja dan peniaga kecil menghadapi cabaran ekonomi semasa.


“Kita juga akan berusaha menjadi pemudahcara kepada komuniti ini dalam menyediakan ekosistem perniagaan yang mesra dan dinamik agar mampu menyokong pertumbuhan serta pembangunan ekonomi yang lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, kesemua 10 agensi di bawah kementerian itu menyediakan pelbagai kemudahan pembiayaan untuk usahawan termasuk yang baru berkecimpung dalam perniagaan.


“Saya mengalu-alukan semua peniaga sama ada yang sudah lama berniaga atau yang baru memulakan perniagaan supaya mendapatkan maklumat lanjut daripada agensi-agensi kementerian mengenai skim-skim pembiayaan dan latihan yang mereka sediakan,” katanya.


Bangunan Monologue Sguare dimiliki JKP Sdn.Bhd dan diurus oleh syarikat ZS Force Sdn.Bhd.


Sementara itu Pengerusi Syarikat ZS Force Sdn.Bhd Dato' Zulkhairi Zakariya berkata, premis perniagaan dua tingkat itu menyediakan lebih 25 lot kedai untuk disewa oleh usahawan.

“Saya juga mengambil inisiatif untuk membuat lot baru di perkarangan bangunan itu untuk 10 orang peniaga makanan.


“Kebanyakan mereka adalah peniaga baru. Mereka memulakan perniagaan kecil-kecilan semasa pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu perniagaan makanan melalui penghantaran Grab atau Foodpanda.


“Apabila mereka tahu Monologue Square dibuka dengan kadar sewa yang rendah, mereka mula berniaga di premis ini,” katanya.


Zulkhairi berkata, Monologue Square dilengkapi kemudahan surau dan tandas, kawasannya sangat strategik dan berpotensi untuk dijadikan pusat sehenti.


“Sebelum ini banggunan ini dikenali sebagai Pusat Komersial Permatang Pauh tetapi kami jenamakan semula sebagai Monologue Square yang mana lebih komersial,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapat hak penyewaan dan mengurus bangunan itu sejak April 2020, namun tahun pertama dan kedua, ia langsung tidak dapat beroperasi ekoran PKP dan Covid-19.


“Awal tahun 2022 kami memulakan operasi dan membaikpulh bangunan itu tetapi kami menghadapi kesukaran mendapatkan mana-mana pinjaman kerana syarat-syarat tertentu. Contohnya, kami harus beroperasi sekurang-kurangnya 18 bulan dan melihat kepada pencapaian kewangan.


“Kami juga menyuarakan masalah ini kepada pemilik bangunan tetapi mereka juga tidak dapat membantu. Disebabkan kekangan itu, saya mengambil keputusan mengurus mengikut bajet sendiri namun ia masih tidak mencukupi.

“Oleh itu saya berharap YB Datuk Ewon dapat membantu memudahcara untuk kami mendapatkan pembiayaan daripada mana-mana pihak,” katanya dan berharap dapat kerjasama daripada mana-mana institusi keusahawanan untuk menjalankan aktiviti di Monologue Square bagi menarik lebih ramai pengunjung.


Zulkhairi berkata, penaiktarafan bangunan dan pembinaan pagar di kawasan itu amat penting untuk keselesaan dan keselamatan para peniaga serta pengunjung.


bottom of page