top of page

KWSP: Tiada perubahan pengeluaran simpanan penuh umur 55 dan 60 tahun bagi ahli semasa

Wartawan Nabalu News

12 Julai 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menafikan bahawa ia merancang untuk mengubah kaedah pengeluaran simpanan penuh umur 55 dan 60 tahun bagi ahli-ahli semasa yang mencarum dengannya.


KWSP dalam satu kenyataan, menjelaskan bahawa perkhidmatan pengeluaran bulanan KWSP sedia ada hanya terpakai kepada ahli yang menyertainya secara sukarela dan tidak melibatkan ahli-ahli semasa.


KWSP juga menegaskan bahawa cadangan untuk menjadikan pengeluaran bulanan sebagai mandatori hanya melibatkan ahli baharu yang lahir pada atau selepas tahun 2010 dan berdaftar dengan KWSP selepas tarikh pelaksanaan kaedah baharu itu.


"Cadangan ini masih sedang diteliti, dan KWSP memberi jaminan bahawa sebarang keputusan berhubung pengeluaran simpanan akan dibuat dengan pertimbangan yang teliti dan selari dengan komitmen KWSP demi kepentingan masa depan ahli," kata KWSP.


KWSP juga menyatakan bahawa mekanisme pengeluaran mandatori bulanan akan menyelaraskan Malaysia dengan amalan di kebanyakan negara lain, kerana negara kita adalah antara minoriti kecil yang masih membenarkan pengeluaran sekali gus dan bukan berkala.


"Bayaran pertama di bawah kaedah mandatori itu hanya dibuat selepas ahli bersara, dijangka berlaku beberapa dekad dari sekarang," tambah KWSP.

Comments


bottom of page