top of page
  • Wartawan Nabalu News

Lapan program utama KUSKOP bantu usahawan B40 Sabah dilaksana tahun lepas - Ewon



29 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melaksanakan lapan program utama sepanjang tahun 2023 bagi membantu usahawan golongan B40 dan usahawan muda di Sabah.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyatakan lapan program tersebut dilaksanakan oleh Kementerian dan agensi-agensi Kementerian iaitu SME Corp, TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Bank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).


“Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) Plus Sabah oleh SME Corp yang disediakan khusus untuk perusahaan mikro Bumiputera Sabah dan sebanyak 67 permohonan melibatkan geran sebanyak RM5.5 juta telah diluluskan. Manakala di bawah Program BEEP sedia ada, sejumlah 15 PMKS Bumiputera Sabah telah mendapat kelulusan geran bernilai RM3.6 juta.


“Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera oleh SME Corp telah memberi manfaat kepada seramai 244 orang usahawan belia Bumiputera di Sabah dengan kelulusan geran sebanyak RM3.7 juta.


“Skim Pembiayaan Usahawan Tamu di bawah TEKUN Nasional telah memberi manfaat kepada seramai 608 orang penjaja dan peniaga kecil di Sabah dengan nilai pembiayaan sebanyak RM2.43 juta. Bagi usahawan muda pula, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM645,000 kepada 45 orang usahawan belia di Sabah di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Belia,” katanya.


Menurut Ewon juga, Skim Pembiayaan Ikhtiar i-MUDA oleh AIM telah memberi manfaat kepada seramai 14,905 usahawan muda di Sabah dengan nilai pembiayaan sebanyak RM90.27 juta pada tahun 2023.


INSKEN yang telah membuka Pejabat Cawangan di Sabah pada Mei tahun lepas juga telah melaksanakan sebanyak 31 program melibatkan seramai 1,681 usahawan di Sabah.


“Program i-TEKAD oleh SME Banak melibatkan seramai 30 usahawan B40 dengan geran peruntukan sebanyak RM150,000 di Sabah, manakala Program i-TEKAD Bank Rakyat pula, sebanyak RM195,000 telah disalurkan kepada 39 orang usahawan B40 di Sabah.


“Program Young Entrepreneurs Strive For Success (YESS) oleh SKM bagi melahirkan usahawan koperasi di kalangan pelajar sekolah menengah dan kolej vokasional di mana sebanyak 7 koperasi sekolah di Sabah telah menyertai program ini. Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana Berhad daripada daerah Lahad Datu telah menjadi johan bagi Anugerah Projek Terbaik Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2023,” katanya.


Ewon menambah, Program Latihan Intensif Dalam Talian Bagi Usahawan Generasi Baru (N-GENE), Program Latihan Kerjaya dan Keusahawanan bagi Graduan TVET (GRACE) dan Program Usahawan Perantis (SPACE) di bawah PROTEGE telah memberi manfaat kepada seramai 292 usahawan graduan di Sabah bagi tempoh sehingga tahun 2023.


“KUSKOP juga akan memulakan Projek Tamu Desa yang bertujuan untuk membina dan menaiktaraf kemudahan ruang niaga dan infrastruktur keusahawanan di luar bandar di Sabah dan Sarawak pada tahun 2024 melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM19 juta yang tentunya akan dapat memberi manfaat kepada usahawan B40 dan usahawan muda di Sabah,” katanya.


Ewon menyatakan demikian di Dewan Rakyat hari ini semasa menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Beluran Datuk Dr.Ronald Kiandee yang bertanya mengenai inisiatif proaktif KUSKOP untuk meningkatkan keberdayaan usahawan khususnya golongan B40 dan usahawan muda di kawasan pedalaman dan luar bandar Sabah.

Comments


bottom of page