top of page

Latif terlepas emas hatrik Paralimpik lompat jauh T20, bawa pulang perak

  • nabalunews
  • Sep 8, 2024
  • 2 min read

8 September 2024


PARIS: Hasrat atlet olahraga para negara, Datuk Abdul Latif Romly untuk mempertahankan pingat emas dalam saingan lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) di Sukan Paralimpik Paris 2024 tidak kesampaian apabila dia hanya memperoleh pingat perak.


Abdul Latif mendedahkan kecederaan otot perut di bahagian kiri sejak Rabu lalu menjejaskan impiannya untuk memburu emas hatrik acara lompat jauh lelaki T20 di Stade de France, Paris.


Selepas mengungguli saingan sejak lompatan kedua dengan catatan 7.45 meter (m), Latif terpaksa akur dengan kehebatan atlet Rusia, Matvei Iakushev yang memintasnya pada percubaan terakhir.


Iakushev menjadi penghalang Latif daripada melakukan emas hatrik Paralimpik apabila lompatan 7.51m pada percubaan keenamnya, gagal dipintas peserta lain.


Keputusan ini menyaksikan Latif tidak mampu menghadiahkan emas ketiga kontinjen negara di Paris.


Malaysia menetapkan sasaran empat pingat emas di Sukan Paralimpik Paris 2024.


Kini hanya berbaki satu sahaja saingan di Paris petang ini melalui atlet powerlifting, Jong Yee Khie.


Gangsa dalam acara lompat jauh T20 dimenangi oleh atlet Colombia, Jhon Obando yang melakukan catatan 7.38m.


Latif yang memenangi dua emas berturut-turut pada Sukan Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 mengakui bahawa Iakushev yang bertanding di bawah bendera Atlet Paralimpik Neutral adalah pencabar utamanya.


Iakushev sebelum ini mencatatkan lompatan terbaik 7.41m pada satu kejohanan di Yekaterinburg, Rusia pada Jun.


Manakala Abdul Latif pula berada di tempat kedua dengan catatan 7.30m ketika merangkul emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun, Mei lalu.


Biarpun tidak dapat membawa pulang pingat emas pada edisi kali ini, namun rekod dunia 7.64m yang dilakukan Latif ketika muncul juara di Sukan Para Asia Jakarta-Palembang 2018 masih kekal menjadi miliknya.


Selain itu, lompatan 7.45m yang dilakukan Abdul Latif menyamai catatannya ketika dia memenangi pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.


Biarpun impian emasnya tidak kesampaian, Latif Romly tetap mendedikasikan pingat peraknya kepada ahli keluarganya termasuk isterinya, Datin Nurul Nabila Farhana Musaidi yang sanggup turun ke Paris 2024 bagi menyokongnya.


Sementara itu, dalam aksi yang berlangsung lebih awal, atlet powerlifting negara Nicodemus Manggoi Moses sekadar menamatkan acara lelaki 97 kilogram (kg) di tangga ketujuh dalam kalangan sembilan peserta.


Atlet berusia 31 tahun hanya berjaya melakukan angkatan 210kg pada percubaan pertamanya sebelum dua percubaan seterusnya iaitu 220kg dibatalkan.


Pingat emas dimenangi atlet Jordan Abdelkareem Mohmmad Ahmad Khattab yang melakukan 270kg sekali gus memecahkan rekod dunia miliknya sendiri iaitu 260kg pada kejohanan Piala Dunia 2024 di Tbilisi, Georgia, Jun lalu.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page