LIGA INGGERIS: LIVERPOOL TERSUNGKUR DI LAMAN SENDIRILIGA INGGERIS: LIVERPOOL TERSUNGKUR DI LAMAN SENDIRI
top of page
  • nabalunews

LIGA INGGERIS: LIVERPOOL TERSUNGKUR DI LAMAN SENDIRI


8 FEB 2021


LIVERPOOL: Manchester City menjarakkan kedudukan dengan kelebihan lima mata untuk berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas Ilkay Gundogan menjaringkan dua gol yang menakjubkan untuk memberi kemenangan 4-1 di Liverpool.


Dengan kemenangan itu, City meraih kemenangan yang ke-10 berturut-turut dalam liga itu dan kemenangan pertama mereka di Anfield sejak 2003.


Kemenangan tersebut melonjakkan kedudukan pasukan pimpinan Pep Guardiola dengan meraih 50 mata dari 22 perlawanan, iaitu kelebihan lima mata berbanding pasukan yang berada di kedudukan kedua, Manchester United yang telah bermain lebih satu perlawanan berbanding City.


Juara Liga pada musim lepas, Liverpool kini ketinggalan 10 mata di belakang City dan berada di kedudukan keempat liga, sekaligus menyukarkan usaha mereka untuk mengekalkan kejuaraan pada musim ini.

Kesilapan yang dilakukan Allison di gawangnya sendiri memberikan City kemenangan mudah semasa menentang Liverpool pada perlawanan semalam.


Allison yang menyerahkan bola terus ke pemain lawan sebanyak dua kali pada separuh masa kedua, membolehkan Gundogan meraih gol keduanya, setelah Mohamed Salah menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti, dan kemudian Raheem Sterling menjadikannya 3-1.


Phil Foden yang bermain cemerlang mengakhiri perlawanan tersebut dengan kemenangan bergaya buat City dengan menjaringkan gol bagi pasukannya.


Liverpool yang berada di kedudukan keempat merupakan bekas juara liga yang pertama tewas dalam tiga perlawanan di laman sendiri berturut-turut sejak Chelsea pada tahun 1956 dan mereka juga mencatatkan 27 mata kurang berbanding musim lalu.


City, yang telah memenangi 14 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan, kini menjadi pilihan utama untuk merangkul kejuaraan ketiga dalam empat musim.


Ianya merupakan satu lagi permainan hambar bagi pasukan Klopp yang turut mengalami kekalahan terhadap Brighton pada perlawanan sebelumnya. Pasukannya kini dalam perjuangan untuk memastikan mereka tidak tersingkir dari kedudukan empat teratas liga.


“Permainan pasukan adalah cukup baik untuk sekurang-kurangnya mendapatkan seri, itu sahaja,” katanya. “Apa yang mampu dilakukan sekarang ialah untuk teruskan perjuangan”


"Saat ini bukanlah saat terbaik untuk kami, tetapi kami harus terus berjuang dan bermain dengan baik." - Reuters


bottom of page